Semalam cubaan seorang wanita 50an untuk membunuh diri dengan terjun dari tingkat 12 Rumah Pangsa Tun Dr Ismail, Seremban gagal apabila bumbung zink menjadi penyelamat.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.15 petang itu, suri rumah berasal dari Kampung Baru Mambau itu sekadar patah kaki kanan dan mengalami kecederaan serius di beberapa bahagian badan terutamanya kepala.

Penduduk tidak sempat menghalang wanita terbabit kerana kejadian berlaku terlalu pantas, kata Titan Ho, Pengerusi Gabungan Persatuan Penduduk Kawasan Lobak.

"Menurut penduduk sekitar, wanita berkenaan datang ke sini semata-mata untuk membunuh diri akibat masalah peribadi. Dia berjaya melepasi gril keselamatan pada lif dan tangga selepas menyusup masuk bersama penduduk lain tanpa disedari.

"Bagaimanapun, dia terselamat selepas tersangkut pada bumbung zink yang berada di aras paling bawah bangunan tersebut," katanya ketika ditemui pemberita, dekat sini, semalam.

Beliau bergegas ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan oleh penduduk dan segera menghubungi ambulans yang tiba kira-kira lima belas minit kemudian.

"Kejadian sebegini amat kita kesalkan. Sejak bangunan ini dibina pada 1964, sudah 68 kes bunuh diri berlaku membabitkan 65 Cina, 2 India dan seorang Melayu.

"Sudah tiga tahun tiada kejadian bunuh diri kawasan ini sejak gril keselamatan dipasang pada awal 2012 bagi menghalang orang tidak dikenali memasuki bangunan tersebut, kecuali penduduk menggunakan kad khas," katanya dipetik Sinar Harian.

Mungkin flat ini antara yang paling digemari untuk membunuh diri di Seremban.