ads

Khamis, 19 September 2013

05 di teluk kemang - Google Blog Search


URL Sumber Asal :-

05 di teluk kemang - Google Blog Search


Kritikan Karya Individu - Dr Shafie Abu Bakar

Posted: 13 Aug 2013 04:16 PM PDT

-->
06 Syawal 1434 = 13 Ogos 2013 (Selasa):
Kritikan karya secara kumpulan dilakukan oleh saudara Muhammad Haji Salleh, saudara Baha Zain dan Alis Murni dengan disertai oleh penyair-penyair Ahmad Sarju, T. Alias Taib, Omar Mohd. Nor dan Nahmar Jamil, manakala secara perseorangan dilakukan oleh saudara Alis Murni. Kedua-kedua bengkel kritikan tersebut berlangsung pada Khamis jam 9.00 hingga 12.30 tengahari 14 November dan 8.30 hingga 10.15 Jumaat 15 November 1974 di Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri sembilan. Tulisan ini fokus kepada puisi-puisi Shafie Abu Bakar.
Dalam kritikan-kritikan tersebut pada umumnya pengkritik-pengkritik tidak mau merubah idea asal penulis, kerana ini jika dilakukan akan melibatkan hilangnya keaslian sajak-sajak yang dikritik. Mereka lebih mempersoalkan tentang penggunaan bahasa dan imej-imej di dalam sajak-sajak dan mengesyorkan cara-cara bagaimana mengemaskannya dari segi teknik.
Di dalam perbincangan secara kumpulan, hanya sebuah sajak sahaja dipilih bagi seorang penyair untuk dikritik. Manakala bagi individu kesemua lima sajak yang terpilih. Bagi Penulis Shafie Abu Bakar dipilih sajak untuk kumpulan berjudul:
Saudara-saudara Muhammad Haji Salleh dan Baha Zain bersetuju dengan idea yang dikemukakan dan menganggapnya baik, tetapi mereka berpendapat penggunaan simbol-simbol ilmu Hisab + - x & -:- tidak bersesuaian dan merosakkan  kebaikan dan keindahan sajak itu, mereka mengesyorkan supaya dicari ganti kata-kata yang bersesuaian dengannya.
Saudara Baha Zain bertanya secara diplomasi akan maksud kata `remak`. Kata ini bermaksud `rosak atau pecah`. Jika demikian sepatutnya ialah `remuk`. Penulis  mengakui kesilapan berkenaan. Perubahan ejaan dilakukan terhadap ejaan kata `remak` kepada `remuk` yang ternyata penulis salah mengejanya, kerana dipengaruhi sebutan dialek tempatan – Terengganu. Peserta-peserta lain nampaknya tidak melibatkan diri di dalam perbincangan secara kumpulan mengenai ejaan `remak` kepada `remuk` ini.
Dalam kritikan secara perseorangan yang dilakukan oleh saudara Alis Murni yang melibatkan semua puisi terpilih, beliau juga menekankan pada soal ketetapan bahasa dan penggunaan imej-imej terhadap kelima-lima buah buah sajak Penulis yang dibengkelkan – tidak dari segi idea. Di dalam sajak `Lebih dari ketepatan` Alis Murni tidak begitu bersetuju simbol-simbol Hisab ditukar, kerana katanya,  ia sesuai dengan judul sajak yang menekankan soal ketepatan. Beliau mengesyokan supaya:
Kata `bertukar ganti` pada baris 5, ditukar kapada kata `berubah`
Kata `lewat` pada baris 8, ditukar kepada kata `pergi`
Menurut beliau penggunaan imej `kijang liar` pada baris 11, adalah tidak bertalian dengan imej sebelumnya. Kalau hendak dikaitkan dengan imej `sungai` pada kata `berhanyutan` katanya, patut dipilih kata-kata `ikan liar` umpamanya dan kata `panahkan` sebelumnya – baris sepuluh ditukarkan kepada `pancingkan`. Ini melibatkan perubahan yang banyak, katanya.
Di dalam sajak `Di suatu persimpangan` beliau tidak bersetuju kata `pendatang` - baris 3 digunakan, kerana ini katanya, ``terang-terang menunujukkan pengaruh Muhammad Haji Salleh.`` (Muhammad menghasilkan kumpulan puisinya `Sajak-sajak pendatang`). Menurut Alis Murni, ``Penulis harus berdiri pada identitinya yang tersendiri``. Beliau juga mengesyorkan supaya kata-kata:
`telah kumamah`, baris 6, ditukar kepada kata `gugur`.
`sisa-sisa harapan`baris 8, ditukar kepada kata `serpihan harap`
`dibakar` baris 10 ditukar kepada `dibahang`
Dan mengesyorkan agar memecahkan baris 11, `setiap detik merasa kehilangan` menjadi dua baris:
Satu detik merasa kehadiran
Beliau juga mengesyorkan kata-kata `kecamuk dalam diri` baris 12, ditukar kepada `gusar`. Seterusnya dua baris akhir:
Aku menyambung perjalanan`
Menjadi satu baris, iaitu:
Ghairah aku menyambung perjalanan.
Di dalam sajak `Hutan-hutan batu` Alis Murni mengesyorkan supaya kata `kini` baris 3, dan `di sana sini` baris 8 ditiadakan sama sekali dan kata `pasang sepanjang baris 11 diubah kepada `pasang surut`.
Di dalam perbincangan mengenai sajak `Kemanusiaan yang tak terselesai`, kata `tiba` baris 8,  disetujui supaya diganti dengan kata `hadir` manakala baris 11, dan 12 disyor supaya ditukar kepada, `kedewasaan yang gugur`.
Mengenai sajak `Ada dan tiada` Alis Murni tidak begitu banyak mengesyorkan perubahan, kecuali pada kata `tara` baris 5 dan 6 dan kata `memantul` baris 12, supaya difikirkan untuk ditukarkan kepada kata-kata lain yang lebih sesuai.
Walau apa pun cadangan perubahan, kecuali yang silap ejaan seperti `remak` kepada `remuk` di atas, Penulis tidaklah terikat untuk mengikut kepada perubahan yang disyorkan, perubahan-perubahan yang dilakukan adalah bergantung kepada pertimbangan Penulis sendiri, kerana kadang-kadang jika diikut kepada syor pengkritik, maka seluruh struktur terpaksa dirubah dan ini menghilangkan keaslian. Namun setengah perubahan dibuat, tetapi bukan dari kerana kritikan semata-mata, sebaliknya menurut kewajaran dan kesesuaian. Walau bagaimana di atas kritikan dan syor-syor yang dibuat Penulis mengucapkan terima kasih.
Untuk makluman hampir semua daripada 16 sajak yang dihasilkan – mendapat tempat dalam penerbitan-penerbitan. Bahkan dua daripada 16 sajak di atas mendapat `Hadiah Sastera Malaysia` bagi tahun yang berlainan. Satu daripadanya yang dihasilkan semasa menghadiri kursus berkenaan dan tidak dibincangkan. Akan dikemukakan  - Insya Allah.

0 ulasan:

Catat Komen

 

BlOG NEGERI SEMBILAN

Copyright 2010 All Rights Reserved