ads

Khamis, 8 November 2012

05 di mambau - Google Blog Search


URL Sumber Asal :-

05 di mambau - Google Blog Search


Detik-Detik Kejayaan-SMK <b>Mambau</b> Melakar Sejarah

Posted: 02 Oct 2012 03:11 AM PDT


SAHIBBA- SMK MAMBAU TERUS MELAKAR SEJARAH
Dalam apa-apa jua  pertandingan, latihan yang berterusan amat diperlukan sehingga terpaksa mengorbankan banyak waktu dan tenaga.  Saya selaku guru yang telah diberikan kursus dalam  permainan Sahibba dan penghakiman telah diminta menghadiri diri dalam mesyuarat  bagi Zon Tengah di Kuala Lumpur. Nama saya telah dihantar ke PPD untuk dicalonkan bagi mengikuti kursus berkenaan. Saya sememangnya suka sesuatu yang baru dan mencabar.
Kursus selama 2 hari 1 malam ini cukup menyenangkan  dan menyeronokkan apatah lagi diadakan dalam keadaan yang begitu santai. Sekurang-kurangnya dapat juga mengurangkan stres di dalam kelas. Kursus banyak dikendalikan oleh Encik Azhar Salleh yang merupakan guru yang bertanggungjawab dalam memperkenalkan  Sahibba edisi Bahasa Melayu ini. Menurut Encik Azhar, program ini telah dilaksanakan pada tahun lepas namun atas sebab-sebab beberapa kekangan, pertandingan peringkat kebangsaan tidak dapat dijalankan malah ada negeri yang tidak mengadakan pertandingan di peringkat negeri termasuklah negeri beradat ini!
 Beliau juga telah dilantik oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka bagi mengendalikan bengkel dan simulasi permainan ini. Nama  beliau seperti biasa saya dengar dan benarlah telahan saya bahawa beliau merupakan seorang penulis jemputan untuk majalah Dewan Pelajar. Beliau juga ialah seorang Munsyi Dewan yang dilantik secara rasmi oleh DBP.
Terus terang saya katakan, sepanjang kursus, kami amat teruja dan bersemangat. Aktiviti banyak diisi dengan aktiviti permainan dan penghakiman. Pada mulanya agak kelam-kabut kerana masing-masing masih baru dengan permainan ini namun akhirnya segala masalah dapat diatasi secara perbincangan bersama dengan Encik Azhar. Saya amat beruntung kerana dalam kumpulan kami ada guru yang sudah berkursus pada tahun lepas. Maka, segala masalah dirujuk terus dengan cikgu berkenaan.
Saya juga telah memberi 5 set permainan Sahibba dengan menggunakan duit saku sendiri. Harganya RM150.00 telah dijual oleh Syarikat Permainan Malaysia (SPM) Khabarnya permainan Sahibba edisi sekolah ini tidak dijual di pasaran terbuka. Saya nekad membelinya memandangkan sebaik-baik sahaja pulang berkursus, saya akan membuat pemilihan peserta di peringkat sekolah . Hal ini perlu dilakukan kerana sejak awal-awal lagi saya sudah menetapkan matlamat tinggi agar peserta dari SMK Mambau ini akan menyerlah  ke peringkat kebangsaan. Itulah hasrat saya sejak awal sebelum berkursus lagi. SMK Mambau bakal menggegar setelah sekolah kami muncul juara dalam Pertandingan Perbahasan Peringkat Seremban 2 malah berjaya menumbangkan SMK Puteri di peringkat akhir.  Seperti tidak percaya, malah itulah hakikatnya.
Sebaik-baik sahaja pulang dari berkursus, pada hari yang berikutnya pemilihan peserta dilakukan. Saya menyerahkan tugas ini kepada Puan Noor  Azila bagi memaklumkan kepada murid khususnya murid-murid tingkatan 2. Rasanya rugi pemilihan dibuat dalam kalangan tingkatan 3 yang pasti terlalu sibuk untuk menghadapi Penilaian Menengah Rendah (PMR). Tumpuan mereka tentu akan tersasar lagipun sekiranya pemilihan dibuat dalam kalangan tingkatan 2, peserta berkenaan masih boleh terlibat pada tahun berikutnya namun hal ini bergantung pada persetujuan mereka juga.
Alhamdulillah, seramai 12 orang peserta akhirnya telah menjalankan sesi pemilihan yang memakan masa hampir 2 minggu. Akhirnya saya dan Puan Noor Azila  telah memutuskan untuk memilih tiga peserta terbaik iaitu Muhammad Afiq Mirza bin Razak, Nor Iskandar bin Kassim dan  Mohd Alif Najmi . Ketiga-tiga orang pelajar ini dari kelas 2 Gemilang  Markah ketiga-tiga peserta ini telah dicatat di atas borang yang kami sediakan setiap kali latihan diadakan. Perkataan yang dibentuk juga kami pantau dalam membuat pemilihan di peringkat akhir.
 Apabila pertandingan di peringkat daerah semakin hampir justeru sesi latihan bermula pada awal pagi lagi iaitu pada pukul 7.20 pagi sehingga pukul 8.20 pagi dan kadangkala berlanjutan pada pukul 9.00 pagi. Kesungguhan mereka amat saya puji. Mereka bertiga begitu gigih menjalani latihan saban hari sehingga pertandingan bermula. 
             Latihan juga diadakan pada setiap hari Rabu bermula pada pukul 3.30 petang hingga 4.30 petang setiap masa kokurikulum. Pada cuti penggal pada bulan Mac juga diadakan sesi latihan selama empat hari. Latihan pada hari Isnin hingga Khamis bermula pada pukul 8.00 pagi hingga pukul 10.00 pagi. Dalam masa yang sama, latihan kawad untuk skuad Pengakap juga diadakan pada hari dan waktu yang sama. Amat mencabar kerana saya perlu menguruskan kedua-dua pertandingan tersebut.  Mengapa empat hari sahaja? Untuk makluman, hari Jumaat hingga hari Isnin saya berada di luar kawasan. Saya berkembara secara solo di Medan, Indonesia.  Saya perlu bercuti juga.
 Sehari sebelum pertandingan, pihak Pengetua memberi kebenaran kepada peserta supaya sesi latihan bermula seawal pukul 7.30 dan berakhir pada pukul 12.00 tengah hari. Sokongan para guru dan pihak pengurusan juga menjadi pemangkin kejayaan kami.
Usaha yang tidak mengenal putus asa ini akhirnya membuahkan hasil. Dalam pertandingan peringkat daerah bagi Seremban 2 yang diadakan pada 25 April 2012 di SMK Cempaka, Nilai, dua peserta dari SMK Mambau terus membuktikan bahawa mereka telah melakar sejarah baru. Muhammad Afiq Mirza dan Nor Iskandar Kassim telah bersaing sesama sendiri di peringkat akhir. Dua orang peserta lain yang bersaing dari SMK Bukit Mewah dan SMK Puteri. Akhirnya keputusan diperoleh, Muhammad Afiq Mirza muncul juara manakala Nor Iskandar Kassim berjaya memperoleh tempat keempat. Hal ini bermakna dua orang peserta sekolah kami berjaya ke peringkat negeri.
Saya menyampaikan berita gembra ini kepada Puan Noor Azila yang juga telah banyak meluangkan masa dan tenaga untuk melatih peserta ini. Beliau juga kadangkala telah bersama-sama  mereka semasa sesi latihan dijalankan. Tanpa usaha beliau, pasti kejayaan ini tidak dapat dicapai. Terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada Puan Noor Azila yang sanggup hadir pada hari Sabtu bersama dengan anak-anaknya semata-mata untuk bersama dengan peserta Sahibba ini. 
Latihan semakin giat dijalankan memandangkan kedua-dua layak ke peringkat negeri. Setiap hari saya tanamkan dengan kata-kata semangat agar mereka menempatkan diri ke peringkat kebangsaan. Jangan  memandang ke belakang, teruskan berlari sehingga ke garisan penamat. Itulah kata semangat yang sering saya dendangkan ke telinga mereka. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Muhd Alif Najmi walaupun tidak terpilih namun tetap memberikan saingan semasa sesi latihan dijalankan.
Tiba-tiba saya telah menerima surat  pelantikan sebagai hakim Sahibba di peringkat negeri. Saya meneliti nama-nama dalam senarai yang dilampirkan. Rupa-rupanya semua guru yang telah berkursus di Kuala Lumpur tempoh hari telah dilantik sebagai hakim. Pelik,  saya langsung tidak terlibat sebagai hakim di peringkat daerah dan tiba-tiba nama saya tersenarai sebagai hakim pula.
Sehari sebelum pertandingan, kami dipanggil untuk bermesyuarat di SMK Lui Barat, lokasi berlangsungnya pertandingan Sahibba tersebut.  Dalam mesyuarat ini, taklimat sekali lagi diadakan dan beberapa penambahbaikan dari segi penghakiman turut dilakukan. Hal ini dapat mengelakkan beberapa kekeliruan yang timbul semasa pertandingan di peringkat daerah dahulu.
Sebagai pertandingan yang baru diperkenalkan sudah tentu terdapat beberapa ketidaksamaan  dan kekeliruan dari segi penghakiman telah berjaya diselesaikan. Saya sendiri juga telah mendapat beberapa penjenihan dari segi penghakiman dan permainan. Simulasi pertandingan turut diadakan pada hari tersebut bagi memastikan pertandingan esok berjalan dengan lancar.
Selaku hakim seboleh-bolehnya saya perlu bersikap berkecuali.  Muhammad Afiq Mirza gagal ke peringkat akhir dan hanya berjaya ke peringkat separuh akhir. Saya dimaklumkan bahawa Nor Iskandar telah berjaya ke peringkat akhir. Tetapi ketika senarai nama peserta dibacakan oleh pengacara majlis, nama Nor Iskandar tercicir daripada senarai. Sebelum itu saya telah diberikan ucapan tahniah kerana peserta dari sekolah saya mara ke peringkat akhir. Saya tergamam, saya ketika itu sedang mengadili pertandingan akhir peringkat sekolah rendah terus hilang tumpuan. Mujur ketika itu saya hanya bertindak sebagai hakim kedua. Saya ditugaskan merujuk perkataan yang dibina oleh peserta sekiranya ada peserta yang mencabar perkataan tersebut. Saya mendapat panggilan telefon daripada Puan Noor Azila untuk membuat bantahan. Saya menoleh ke arahnya dan saya melihat kelibat Nor Iskandar yang kegelisahan. Rona wajahnya tercerna perasaan kurang berpuas hati. Saya meminta seorang rakan menggantikan tempat saya buat seketika lalu ke belakang ruang peserta. Pada mulanya saya agak keberatan untuk berjumpa pihak urusetia namun setelah didesak oleh Puan Noor Azila saya terus ke meja urusetia. Ternyata kesilapan telah berlaku, pengacara tersilap memanggil nama peserta ke peringkat akhir. Lalu, pertandingan yang telah berlangsung selama hampir 30 minit terpaksa dibatalkan.
            Alhamdulillah, Nor Iskandar berjaya muncul sebagai pemenang tempat kedua di peringkat negeri.  Saya mendapat khabarnya, peserta yang mewakili Negeri Sembilan di peringkat kebangsaan telah berjaya muncul naib johan.
Nor Iskandar (atas) dan Muhammad Afiq Mirza (bawah)semasa beraksi di peringkat negeri

0 ulasan:

Catat Komen

 

BlOG NEGERI SEMBILAN

Copyright 2010 All Rights Reserved