ads

Rabu, 28 November 2012

05 di gemencheh - Google Blog Search


URL Sumber Asal :-

05 di gemencheh - Google Blog Search


Cetusan Mukara: Memenangi <b>Gemas</b>: cabaran terbesar PR NS

Posted: 14 Sep 2012 02:10 AM PDT

Gemas merupakan antara kawasan Dun yang berada dalam Parlimen Tampin selain Gemencheh dan Repah.

Kawasan ini boleh dikatakan antara kubu kuat Umno-BN di Negeri Sembilan yang tidak pernah digugat oleh mana-mana parti pembangkang sejak 1970 iaitu selepas 'proses penyusunan semula' politik negara yang dilakukan oleh strategis Umno bagi menyekat pengaruh dan kekuatan politik parti-parti yang berpotensi mengancam Umno dan BN di masa hadapan.

Namun sejarah awal Pilihanraya Umum (PRU) negara pada tahun 1959 telah mencatatkan bahawa Gemas telah dimenangi oleh calon dari Sosialis Front (SF) atau Pakatan Sosialis Malaya yang dianggotai oleh Parti Buruh dan Parti Rakyat. Calon tersebut, Fong Yew Wang telah menjadi wakil rakyat pertama bagi dun Gemas.

Faktor kemenangan calon SF ketika itu turut dipengaruhi oleh komposisi kaum Dun Gemas. Sebelum tahun 1963-1978, belum wujud lagi kawasan petempatan Gugusan Felda Jelai (1-4). Gemas menjadi kawasan yang didominasi oleh penduduk-penduduk Cina, pekerja-perkerja ladang kepunyaan syarikat British dan beberapa kampung tradisional Melayu. Komposisi pemilih kaum Cina di Gemas waktu itu sekitar 60 peratus.

Namun setelah era 1963-1978, kewujudan petempatan Gugusan Felda Jelai telah mengubah komposisi kaum di Gemas yang kini pengundi Melayu meliputi 83 peratus daripada keseluruhan pemilih.


Dominasi Umno

Selepas kewujudan petempatan Gugusan Felda Jelai, Umno terus mendominasi kemenangan dalam pilihanraya di Gemas.

Parti PAS menjadi lawan kepada Umno secara konsisten di kawasan ini namun gagal menyaingi.

Dalam PRU 1986, Umno memenangi Gemas dengan majoriti 4,588 undi, mengalahkan Pas yang memperolehi sebanyak 1,205 undi sahaja berbanding Umno yang mendapat 5,793 undi.

Ketika politik negara dilanda ombakan politik kesan perpecahan Umno pada tahun 1988, parti itu tetap utuh menang di Gemas dengan mengekalkan majoriti besar. PRU 1990 di Gemas, Umno mendapat 7,172 undi berbanding calon Pas yang menerima 1,672 undi. Ombakan politik yang dicetuskan oleh Gagasan Rakyat (Semangat 46, PAS & DAP) gagal mempengaruhi para pemilih di Gemas, seolah-olah tidak terkesan daripada perubahan politik semasa yang sedang berlaku.

Era Reformasi

Hanya dalam tempoh sedekad berlaku sekali ombakan politik negara-Era Reformasi pada tahun 1998 kesan kebangkitan rakyat menentang pemecatan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Anwar Ibrahim.

Ombakan politik kali ini benar-benar mempengaruhi para pemilih Melayu secara besar. Hampir 78 peratus pemilih Melayu ketika itu menolak Umno-BN tetapi telah diselamatkan oleh undi bukan Melayu yang kekal kuat menyokong Umno-BN.

Gemas menjadi contoh terbaik kesan ombakan tersebut. Sejak tahun 1970, Umno selesa memenangi Gemas dengan majoriti yang besar melebihi tiga ribu undi tanpa digugat. Namun dalam PRU 1999, Umno hanya memenangi Gemas dengan kelebihan 2,859 undi. Ia merupakan catatan terendah majoriti kemenangan Umno sepanjang sejarah pilihanraya umum sejak 1970. Calon Pas memperolehi 2,775 undi manakala calon Umno mendapat 5,634 undi.

Cabaran PR

Undi Pos

Selepas persempadanan semula pada tahun 2003, petempatan Kem Tentera telah dibuka di Gemas namun tidak berlaku pemindahan tentera dalam jumlah yang besar. Bermula 16 Jun 2005, petempatan tentera di Kem Syed Sirajuddin, Gemas telah memperlihatkan pertambahan undi pos tentera di kawasan ini.

Inilah cabaran yang harus dihadapi oleh PR bagi merealisasikan kemenangan di Gemas. Sudah pasti, Umno-BN akan memanipulasi undi pos untuk memaksimakan kelebihan kemenangan mereka.

PRU 2004 lalu, jumlah undi pos di Gemas adalah 453 undi. Calon Umno telah mendapat 307 undi dan calon Pas menerima 124 undi sahaja. Akan tetapi pada PRU 2008, jumlah undi pos di Gemas adalah 2,932 undi. Pertambahan sebanyak 85 peratus undi pos dari tahun 2004 ke 2008.

Dalam keputusan PRU 2008 bagi undi pos, calon Umno mendapat 2,260 undi (77.08%) manakala calon Pas hanya mendapat 514 undi (17.53%). Parti pemerintah dilihat telah memaksimakan kelebihan kemenangan mereka melalui manipulasi undi pos. Calon Umno-Zainab Nasir memperolehi majoriti kemenangan yang sangat selesa iaitu 7,965 undi yang merupakan antara catatan kemenangan tertinggi Umno-BN di Gemas sejak 1970.

Kawasan Felda

Mengikut daftar pemilih suku tahun pertama 2012, jumlah pemilih di kawasan Felda yang terdapat dalam Gemas adalah seperti berikut;

1. Felda Jelai 1 & 3: 3,679
2. Felda Jalai 2 & 4: 4,022
3. Felda Pasir Besar: 1,686

Secara keseluruhan jumlah pemilih di kawasan Felda yang terdapat dalam Dun Gemas adalah
9,387 orang (42.33%) daripada keseluruhan 22,178 orang pemilih.

PRU 2008 lalu, jumlah undi keseluruhan dari kawasan Felda dalam Dun Gemas adalah 5,814 orang. Mengikut keputusan pilihanraya tersebut, calon PAS hanya memperolehi 916 undi (15.76%) manakala calon Umno mendapat 4,794 undi (82.46%).

Keputusan tersebut membuktikan kawasan felda menjadi deposit tetap kepada kemenangan Umno-BN di Gemas. Faktor calon Pas juga mempengaruhi keyakinan pemilih di kawasan-kawasan Felda yang lebih yakin dan cenderung memilih Umno yang dirasakan lebih berkredibiliti. Ada kemungkinan juga gerak kerja Pas agak lemah di kebanyakan kawasan Felda dan sukar untuk ditembusi.

Kesimpulan

Kali ini untuk PRU-13, Parti KEADILAN Rakyat akan bertanding di Gemas hasil rundingan kerusi yang dilangsungkan pada tahun 2011.

Berdasarkan tinjauan dan kaji selidik, KEADILAN mempunyai potensi menyaingi dominasi Umno di Gemas. Para pemilih bukan Melayu agak cenderung untuk memilih parti ini dan disebut-sebut lebih 70 peratus menyokong KEADILAN bertanding di Gemas.

Cabaran terbesar PKR adalah menembusi kawasan Felda. Namun berdasar sejarah pilihanraya umum terdahulu, Daerah Mengundi Pasir Besar dan Felda pasir Besar dahulu berada dalam Dun Jeram Padang pada PRU 1999. Ketika itu, calon Keadilan telah menang di kedua-dua kawasan ini. Adalah tidak mustahil kemenangan dijana dari kedua-dua daerah mengundi ini.

Jika gerak kerja yang sedang berlangsung di Gemas khususnya di kawasan Felda, KEADILAN berpotensi memperolehi undi popular sekitar 36-38 peratus.

Kenyataan yang hakiki diakui adalah Gemas merupakan kubu kuat Umno, namun ia tidak mustahil untuk ditawan. Ia sukar tetapi tidak mustahil untuk dimenangi!

Jangkaan BN

BN: 80%
PR: 20%

Andaian Penulis

PR: 46%
BN: 54%

0 ulasan:

Catat Komen

 

BlOG NEGERI SEMBILAN

Copyright 2010 All Rights Reserved