NILAI - Polis mengesahkan tiada unsur jenayah berhubung kematian seorang wanita warga emas di Mantin dekat sini, semalam.
  
Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Yusoff Awang berkata bedah siasat mendapati Siti Rohani Alias, 75, mati akibat saluran darah ke jantung tersumbat.

"Laporan bedah siasat juga menyatakan tiada kesan lebam pada mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
  
Mayat mangsa ditemui jirannya pada kira-kira pukul 10.30 pagi dalam keadaan terbaring dalam rumahnya di Lorong 3, Kampung Abdullah, Mantin, dengan kesan darah keluar dari hidung.
  
Mangsa dipercayai meninggal dunia lebih 24 jam.
  
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk bedah siasat. - Bernama