SEREMBAN – Seorang gadis ditemui mati dengan kesan kelaran pada lehernya di sebuah rumah dekat Taman Desa, Mantin, di sini, malam kelmarin.
Mangsa, S Sintuja, 19, pelajar sebuah kolej swasta di sini sejak setahun lalu ditemui dalam keadaan terbaring atas lantai bilik tidur oleh sepupunya kira-kira 8.30 malam.
Menurut sumber, turut dijumpai sebilah pisau di atas katil tidak jauh dari mayat mangsa berada.
"Siasatan awal mendapati, mangsa berasal dari Temerloh, Pahang itu menetap di asrama kolej tetapi sering bertandang dan bermalam di rumah bapa saudaranya pada setiap cuti hujung minggu.
"Mangsa akan dijemput oleh bapa saudaranya setiap petang Jumaat dan menghantarnya kembali ke asrama pada hari Ahad," katanya.
Sumber berkata, semasa kejadian, kesemua pintu dalam rumah berkenaan tidak berkunci namun tiada tanda menunjukkan berlakunya pecah masuk atau kecurian.
"Berdasarkan keterangan bapa saudara mangsa, pada hari kejadian, dia keluar dari rumah kira-kira 6 petang dan hanya pulang semula selepas menerima panggilan anaknya memaklumkan tentang insiden tersebut kira-kira 9 malam.
"Susulan itu, bapa saudara dan sepupu mangsa kini ditahan reman bagi membantu siasatan kes berkenaan," kata sumber kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang mengesahkan menerima laporan kejadian.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Setakat ini, polis masih menyiasat motif kejadian, manakala mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini untuk bedah siasat. – Sinar Harian Online
Iklan Teks:
Artikel Berkaitan:
PERINGATAN: Mynewshub tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri