Laporan khas Ahmad Shukran Shaharudin
PORT DICKSON, 10 Okt (Bernama) — Dengan latarbelakang sejarahnya yang cukup menarik, Sungai Linggi dekat sini, mempunyai potensi besar untuk diterokai dan dimajukan sebagai satu lagi destinasi pelancongan Negeri Sembilan.
Kawasan hutan bakau yang menghiasi sepanjang sungai itu menawarkan pelbagai pemandangan flora dan fauna yang menarik di negeri ini, tempat masyarakat Minangkabau mula bertapak di tanah Melayu.
Berabad-abad lalu, Sungai Linggi adalah laluan yang digunakan Raja Melewar yang berasal dari Pagar Ruyung, Minangkabau, Sumatera untuk ditabalkan sebagai Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan pertama pada tahun 1773.
Berikutan pembunuhan Sultan Mahmud dari Johor, suasana di Johor menjadi tidak menentu dengan pelbagai pihak menuntut takhta pemerintahannya.
Masyarakat Minangkabau yang berasal dari Sumatera juga kehilangan tuan sementara kerajaan Johor terlalu lemah untuk memberi perlindungan kepada mereka.
Dengan restu Sultan Johor baru, mereka melantik Raja Melewar dari kerajaan tanah asal mereka, sebagai sultan pertama Negeri Sembilan.
Menurut satu sejarah, Sungai Linggi merupakan salah satu laluan yang digunakan Hang Tuah, seorang hulubalang dari Melaka, membawa puteri Tun Teja dari Pahang, untuk dipersembahkan kepada sultannya, Sultan Mansor Shah, sebagai permaisuri baginda.
Dalam Hikayat Hang Tuah, diceritakan pahlawan Melayu terbilang ini yang terlalu taat dengan raja, pergi ke Pahang untuk merayu Tun Teja, yang masa itu sudah bertunang, agar berkahwin dengan Sultan Mansor Shah, yang memerintah Melaka dari 1456 hingga 1477.
Sungai Linggi ini juga dikatakan sebagai pintu masuk Islam ke Negeri Sembilan.
Sungai ini bukan saja penting daripada segi sejarah tetapi juga kaya dengan keindahan alam — flora dan faunanya.
MENYUSUR SUNGAI
Menurut Pengurus Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Sembilan (MTPNS) Mohamed Hatta Said, Sungai Linggi yang memisahkan Melaka dengan Negeri Sembilan sesuai dibangunkan untuk pelancongan menyusur sungai menggunakan bot bagi menarik minat golongan pencinta alam.
Bagi pelancong yang berminat dengan hutan, denai-denai berbentuk jambatan boleh dibina untuk membolehkan mereka masuk berjalan kaki bagi menikmati keindahan semula jadi hutan paya bakau itu.
Antara fauna yang hidup di sungai sepanjang lima kilometer yang kemudiannya terus ke Sungai Timun itu, ialah buaya.
Haiwan yang pemakan daging ini mungkin boleh membahayakan pelancong pencinta alam, tetapi kehadiran reptilia di tempat persembunyiannya akan menarik mereka untuk menyertai pelancongan menyusur sungai.
Para pelancong juga berpeluang memberi makan buaya-buaya ini, sama seperti produk pelancongan yang dijalankan di Pulau Langkawi, yang menggunakan burung helang.
"Buaya-buaya liar ini banyak terdapat dekat Sungai Timun dan setakat ini kita sedang mengkaji bagaimana hendak mendapatkan makanan untuk mereka," katanya dalam satu temubual dengan Bernama di sini baru-baru ini.
Mohamed Hatta berkata satu ladang ternakan ayam berdekatan sudah dikenalpasti sebagai bekalan ayam mati dan tidak boleh dijual lagi, untuk makanan buaya-buaya itu.
Katanya, untuk itu, buaya-buaya itu perlu "diajar, dilatih dan dibiasakan" terlebih dahulu untuk menjinak dan membiasakan mereka dengan makanan yang diberikan.
TARIKAN KELIP-KELIP
Beliau berkata satu lagi keindahan yang terdapat di Sungai Linggi ialah terdapatnya kelip-kelip, yang memberi cahaya menarik pada waktu malam.
Mohamad Hatta berkata jumlah kelip-kelip yang terdapat di kawasan itu tidaklah banyak berbanding di Kampung Kuantan Kuala Selangor tetapi ia boleh ditingkatkan dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Salah satu caranya ialah dengan menanam lebih banyak pokok bemban yang menjadi habitat bagi kelip-kelip.
Sungai Linggi terletak berdekatan dengan Sungai Besar, dalam negeri Melaka yang lebih maju daripada segi pelancongan. Kerana jarak yang begitu dekat pelancongan sungai ini boleh dimajukan dalam satu pakej dengan Sungai Besar.
Katanya, perjalanan dari Kuala Sungai Linggi ke Sungai Besar hanya memakan masa selama sejam dengan menaiki bot dan kerjasama erat dengan agensi pelancongan di Melaka mampu meningkatkan lagi kehadiran pelancong ke Sungai Linggi.
"Kita difahamkan kerajaan Melaka sudah membuat sedikit sebanyak pembangunan di tebing Sungai Linggi itu yang berbentuk chalet dan sebagainya tetapi apa yang boleh dilakukan ialah hanya memperlengkapkan kemudahan yang ada bagi pihak Negeri Sembilan," katanya.
PEMBANGUNAN SEGERA
Beliau meminta kerajaan negeri menyegerakan pembangunan kawasan tersebut kerana yang ada pada hari ini hanyalah jeti Tanjung Agas yang digunakan nelayan tempatan untuk keluar ke laut.
Katanya jika kerajaan negeri serius untuk membangunkan kawasan itu, ia perlu melengkapkannya dengan infrastruktur bagi para pengunjung tidak kira sama ada dari dalam atau luar negara.
Sebagai contoh, katanya, jeti itu perlulah dinaiktaraf sebagai pangkalan bagi aktiviti menyusur sungai itu, selain kemungkinan pembinaan chalet, kawasan berehat, gerai-gerai makanan yang lebih menarik, surau, tandas dan kawasan meletak kereta.
"Kita boleh membantu daripada sudut pelancongan namun kos pembangunan adalah tertakluk di bawah kelolaan kerajaan negeri," katanya.
Pelancong yang datang berkereta, boleh pergi ke Sungai Linggi dari Port Dickson ke Sungai Sunggala yang berakhir di jambatan Tanjung Agas, tempat bermulanya aktiviti menyusur sungai berkenaan seperti yang dirancang.
Pada masa ini hanya terdapat beberapa gerai makanan saja di situ dengan bangunan yang tidak begitu menarik dan hanya didatangi penduduk dan nelayan yang bekerja di kawasan itu.
Menteri Besar, Datuk Mohamad Hasan sudahpun melihat kawasan berkenaan dengan menaiki bot dari Port Dickson Marina dan sudah memberikan lampu hijau untuk membangunkan Sungai Linggi sebagai produk pelancongan baru.
Namun beliau mahu semua cadangan itu perlu diperincikan bagi memastikan pembangunannya sesuai dan tidak ada yang boleh merosak alam sekitar di kawasan itu. ***
http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=15984
Like this:
Be the first to like this.
July 19, 2012 - Posted by Suprizal Tanjung SS | Agama, Minangkabau Pagaruyung Sumbar
No comments yet.