SEREMBAN – "Tidak ku minta lahir ke dunia, tidak ku duga cacat begini, bukan ku minta kasih dan manja, bukan ku rayu bantu simpati."
Pekerja bergambar di hadapan bangunan Bengkel Seri Sembilan, Mambau di Seremban.
Apabila mendengar bait lagu ini, pasti hati akan tersentuh, apatah lagi dinyanyikan dengan melodi muzik yang penuh emosi.
Keadaan itu bukan sesuatu yang asing malahan lagu itu banyak hubungannya dengan golongan orang kurang upaya (OKU), apatah lagi dalam aspek survival mereka untuk mencari sumber kewangan bagi membantu keluarga dan diri sendiri.
Atas kesedaran itulah, Bengkel Seri Sembilan yang terletak di Mambau dekat sini, menjadi teras latihan kepada golongan OKU untuk berdikari sekali gus menambah pendapatan harian mereka.
Pengurus bengkel, Kasim Yunus berkata, objektif penubuhan pusat latihan itu adalah bagi membantu menggalakkan golongan OKU menjalani program peningkatan hidup di bawah latihan kemahiran dan kecekapan kerja.
"Di bengkel ini, kita mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan OKU dan hasilnya, ramai yang mendapat faedah dengan wujudnya bengkel ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Tambah Kasim, bengkel itu dibuka dan digunakan golongan OKU yang cacat anggota, pendengaran, penglihatan dan masalah akal.
"Sumber kerja utama di sini ialah membuat sampul surat pelbagai saiz dan bentuk yang ditempah pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan.
"Mereka yang bekerja di sini juga dilatih dalam kerja menjahit dan sejak itu, bengkel ini menerima tempatan jahitan baju kurung dan baju Melayu, kemeja, cadar serta baju korporat," ujarnya.
Menurut Kasim, dia berharap dapat menjadikan Bengkel Seri Sembilan sebagai sebuah institusi latihan kemahiran OKU yang besar serta dilengkapi pelbagai kemudahan.
"Sudah sampai masanya bengkel ini dinaik taraf dan saya mahu melihat suatu masa kelak, semua pekerja dan pihak pengurusan di bengkel ini dikendalikan sendiri golongan OKU. Kebanyakan mereka telah menetap di sini dan cukup komited dalam memajukan diri," tegasnya.
Jelas Kasim, semua pekerja di bengkel ini mendapat gaji bulanan dan mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) selain bantuan elaun pekerja cacat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Kami menyediakan kemudahan tempat tinggal, makan, tempat riadah dan aktiviti sukan serta kebudayaan. Saya mahu mereka merasai hidup seperti di rumah sendiri," jelasnya.
Tambah beliau, golongan OKU yang mempunyai kemahiran menjahit boleh ke bengkel itu untuk bekerja di samping menjadi tenaga pengajar kepada rakan-rakan mereka dan boleh menghubunginya di talian 012-4026158.