Entry ini adalah entry tertangguh yang bersambung dari s
iniSelepas balik dari Keningau, program kami menuju ke Kudat pula. Kudat adalah daerah paling hujung di utara Borneo. Jarak perjalanan dari KK mengambil masa kira-kira 2 jam lebih paling cepat. Walau pun jaraknya dari KK tidak jauh sangat, tetapi masa yang diambil sedikit lama kerana struktur jalannya masih banyak perlu diperbaiki. Terdapat juga penerbangan dari KK ke sini menggunakan pesawat Twin Otter. Kalau anda masih ingat, baru-baru ini, ada kejadian pesawat twin otter terhempas mengorbankan dua nyawa di Kudat. Saya fikir, salah satu sebabnya ialah, kedudukan Kudat yang terletak di open sea, jadi angin memang kuat, menyebabkan pesawat ringan selalu tidak stabil ketika membuat pendaratan, kena pula masa musim ribut. Sebelum pergi, salah seorang pegawai mengesyorkan kami menaiki pesawat itu ke sana untuk menjimatkan masa, tapi semua pakat tidak setuju, termasuklah saya. Ha ha. Padahal, kalau mati, tak naik pesawat pun boleh mati juga. Lagipun kalau menaiki pesawat, tak dapatlah nak melawat dengan baik daerah Kudat itu nanti.
Oklah, panjang pula bebelnya.
Perjalanan ke Kudat
Perjalanan ke Kudat akan melalui Tuaran dahulu, daerah yang popular dengan kuda. Dari Tuaran, terus menuju ke Kota Belud, sama seperti nak menuju Kundasang, tapi teruskan perjalanan sehingga bertemu satu simpang yang mana, kanan untuk ke Kota Marudu dan kiri untuk ke Kudat. Sepanjang perjalanan di Kota Belud tadi boleh nampak pemandangan Gunung Kinabalu yang masyur. Hati meronta nak ke sana, tapi entahkan bila baru dapat menjejakkan kaki. Sepanjang jalan ada banyak sawah padi bukit. Padi bukit tidak memerlukan air yang banyak ketika di tanam. Bukan mudah nak jumpa padi bukit di semenanjung. Sayang sekali kami tidak sempat singgah berhenti untuk ambil gambar padi bukit itu.
Dalam perjalanan ini akan bertemu satu kawasan gerai unik yang menjual barang makanan secara disangkut-sangkut pada tali. Antara makanan yang banyak dijual ialah keropok dan kekacang, terutama kacang tanah. Nama tempat ini saya tidak pasti, tapi nama papan tanda sebuah jalan di sana ialah jalan langkon
Kemudian bila sudah hampir sampai ke Kudat terdapat lagi satu gerai-gerai tepi jalan yang mejual banyak barangan tradisional etnik Sabah dan juga hasilan produk pertanian. Saya ingin juga nak menyinggah, tapi sayang kami kesuntukan masa kerana perlu melawat dua tapak projek.
Bandar Kudat
Bandar Kudat, walaupun kecil, tetapi ia turut mengalami kemajuan sama dengan lain-lain tempat di Malaysia. Ia memiliki segala kemudahan disini, termasuk landasan kapal terbang kecil. Anda boleh juga datang dengan pengangkutan awam seperti teksi dan bas. Kedudukan Kudat adalah diantara laut China Selatan dan Laut Sulu. Itu yang memberi keistimewaannya di Simpang Mengayau atau Tips of Borneo.
Tempat membuat Gong
Dalam perjalanan ini anda akan bertemu dengan satu daerah atau pekan yang dipanggil Matunggong. Disinilah kawasannya pembuatan gong dilakukan. Terdapat banyak rumah yang mengusahakan pembuatan gong. Ada juga gong yang dijual sebagai cenderamata. Gong Sabah tidak jauh beza rupanya dengan cak lempong dari negeri sembilan. Tapi ia menghasilkan bunyi yang berbeza. Agak merdu juga.
Sungguh penerbit filem dan drama di malaysia tidak ada passion dalam kerjaya mereka. Ini kerana, Sabah adalah sebuah negeri yang sangat menarik, mempunyai sumber-sumber klasik yang sesuai untuk didramakan. Hanya perlukan naskah skrip yang menarik dan pengarah yang profesional untuk mendapatkan sebuah drama yang setanding dengan negara korea dan lain-lain. Apalah malangnya nasib negara ini, sumber ada, tapi jati diri pupus. Semua sibuk buat cerita yang meloyakan.
Sori, tersasar pula. Dalam kawasan perkampungan ini juga terdapat sebuah gong gergasi yang bersaiz lebih 20 kaki persegi! Ia terletak ke dalam lagi kawasan perkampungan. Tetapi tidaklah jauh sangat, boleh saja berjalan kaki. Cuma banyak anjing. Kalau anda jenis penakut anjing, saya tidak nasihatkan berjalan kaki.
Kena bayar juga untuk masuk ke dalam kawasan gong ini. Kata pemandu kami, dulu tidak dikenakan bayaran masuk. Apapun alang-alang sudah sampai, saya bayar saja. Sudah lupa pula berapa harganya. Maaf ye, tapi tidak lebih RM 10.
Lain-lain Tempat-tempat menarik sepanjang perjalanan :
Sebenarnya tidak semua tempat saya singgah dalam perjalanan itu. Ada yang saya hanya lalu sahaja. Apapun dari beberapa blog, saya dapati banyak juga tempat menarik dalam perjalanan di Kudat ini. Tidak termasuk tentang Simpang Mengayau, kerana, saya akan buat entry yang lebih spesifik tentang tempat itu. Antara blog yang ada menceritakan tempat menarik lain di Kudat (selain Simpang Mengayau), boleh rujuk di sini :
http://chelzlensaphotography.blogspot.com/2011/12/aku-di-kudat-sabah.html
http://budgetciputtraveller.blogspot.com/2012/10/sabah-day-1-kota-kinabalu-international.html
http://www.sabah.gov.my/lbk/index.php?option=com_content&view=article&id=80&Itemid=478
Tiada ulasan:
Catat Ulasan