05 di rembau - Google Blog Search |
Cina bukan Islam <b>di Rembau</b> pandai guna kalimah Allah Posted: 22 Jan 2013 03:19 PM PST Ada seorang kenalan arwah ayah saya di Kota, Rembau, namanya orang kampung panggil Ah Lek, saya pun panggil pakcik ni Ah Lek. Umur sekitar 60an, baik dengan arwah ayah saya kerana dia banyak menguruskan kebun-kebun dan ladang-ladang di sekitar kampung kepunyaan penduduk kampung. Setiap kali pertemuan arwah ayah saya dengan dia , pakcik Ah Lek akan sentiasa mengucapkan kalimah Allah, mengalahkan orang Melayu walaupun dia bukan beragama Islam. Jumpa saja arwah ayah saya dia akan terlebih dahulu beri salam, dengan ucapan salam yang sempurna. Kalau tanya apa-apa dia akan cakap , insyaAllah. Kalau memulakan pekerjaan seperti mengangkat barang dia akan cakap Bismillah, kadang-kadang dia kata Bismillahirahmanirrahim. Cuma dia belum mendapat hidayah Allah. Masyarakat di sekitar pula tidak mempraktikkan Islam sepenuhnya, masjid-masjidnya banyak yang mati seperti apa saya cerita dalam blog saya yang telah disekat, dan saya ulang siar di bawah ini. Semoga Allah mengampunkan dosa saya kerana gagal berdakwah kepada pakcik Ah Lek agar terbuka pintu hatinya untuk menerima Allah sebagai "the only God". MASJID MASJID YANG MATI DI N.SEMBILAN, NEGERI BERADAT Pada Sabtu 19 Mac 2011 saya menghadiri jemputan kenduri perkahwinan sahabat saya di Kg Kuala Dadeh, Sawah Raja, Kota, N.Sembilan bersama anak lelaki saya yang berusia 14 tahun. Dalam perjalanan pulang dari kenduri tersebut telah hampir waktu zohor. Lalu saya berkira-kira nak solat zuhur di mana, di Kota atau di Chengkau. Rasanya nak solat di Chengkau, tetapi teringat pesanan Tuan Guru Haji Basiron, bila dah masuk waktu solat terus di masjid terdekat, jangan tangguh-tangguh. Kalau solat di masjid Chengkau, tempat letak keretanya selesa, ada warung lagi luar masjid. Oleh kerana dah sampai Masjid Kariah Kota dulu , lalu saya pun berhentilah solat zuhur di Kota. Sampai di perkarangan masjid nampak begitu ramai para jemaah Tabligh, semuanya orang asing, barangkali dari Pakistan yang baru juga sampai. Lepas ambil wudu adalah 2 orang yang saya rasa orang tempatan yang saya tidak kenal. Ruang utama dalam masjid berkunci, ruang sebelah tidak berkunci. Saya ingatkan dah azan zuhur, salah seorang orang tempatan tadi pun mulalah ikamah, saya minta seorang yang berkopiah menjadi imam, dia pula minta saya jadi imam. Saya pun jadilah imam, walaupun saya tiada tauliah untuk jadi imam solat zuhur di masjid kariah. Selepas solat saya terfikir, mana pergi imam yang dibayar elaun dengan kenaikan elaun yang lebih tinggi pada tahun 2011 ini? Mana perginya bilal kalau tiada imam? Mana perginya siak kalau tiada bilal? Mereka semua ini dibayar elaun untuk apa? Imam 2 , Imam 3 hingga Imam 10 kalau ada, rasanya tidak dibayar elaun. Apakah Pengarah Jabatan Agama Negeri Sembilan hanya pentingkan imam untuk baca teks khutbah yang dibekalkan setiap minggu, jika tidak dibaca teks khutbah yang dibekalkan maka tindakan keras akan diambil? Apakah Pengarah Jabatan Agama, Pengerusi Majlis Agama, Ketua Agama Islam di Negeri Sembilan ini tidak kisah ada masjid-masjid di Negeri Sembilan ini yang tidak didirikan solat fardu 5 waktu? Orang Kota, Rembau jangan marah ye, saya pun dilahirkan di Kg Kota Pulau, Kota, N.Sembilan. Saya tegur ni, bukan saya marah kepada imam, kepada bilal, kepada siak, kepada Pengarah Jabatan Agama dan seterusnya. Tapi saya rasa kasihan dan belas ehsan (bukan wang ehsan) bagaimana mereka nak jawab semua perkara ini dalam kubur, di padang Mahsyar , di hadapan Raja segala Raja nanti. Cubalah buat kajian berapa banyak masjid-masjid di N.Sembilan ini yang tidak didirikan solat fardu 5 waktu, kita ada USIM, kita ada MAINS, kita ada JHEAINS, kita ada UITM, kita ada Pusat Dakwah, saya cuma ada Allah dan Blog saya Jangan tangguh-tangguh, malaikat maut melawat setiap seorang kita 70 kali sehari. Kalau bukan sekarang, bila? Kalau bukan kita, siapa? Semasa kenduri di Sawah Raja tadi seorang sahabat beritahu pasal cerita Khutbah Jumaat di Masjid Seremban Selatan. Katanya Ustaz Khusairi Hamthan tidak mahu berkhutbah Jumaat lagi, kerana arahan Jabatan Agama Islam N.Sembilan WAJIB baca khutbah ikut teks. Mungkin ada imam boleh sahkan cerita ini. Agaknya Tan Sri P.Ramlee dah lama nampak kekalutan pengurusan agama Islam dan masjid di Malaysia ini, cuba perhati betul-betul dalam kisah Musang Berjanggut, banyak sindiran. Antaranya Kadi Nikah Kahwin, mungkin sekarang perlu ditukar ke Imam Nikah Kahwin, dimana fungsi imam hanyalah nikah kahwin sekarang bukannya untuk memberi peringatan kepada masyarakat setempat semasa kuliah, ceramah atau khutbah Jumaat. Dan tugas imam juga ikut suka hatilah untuk imam solat fardu 5 waktu, kerana tiada tindakan akan diambil ke atas mereka. Pada 18 Mac 2011 topik khutbah Jumaat satu Malaysia adalah mengenai Air, tapi bukan Air Tsunami. Satu dunia cerita pasal Tsunami di Jepun, khutbah Jumaat di Malaysia tidak langsung mengaitkan mengenai Tsunami sebagai iktibar, tapi cerita pasal air supaya kita berjimat cermat, tak salah, cuma tak kena masanya. Pengerusi Majlis Agama Islam N.Sembilan dan Menteri JAKIM, bangunlah dari tidur kalian semua. Jangan biarkan lebih banyak masjid-masjid di Negeri Sembilan dan Malaysia ini mati. Ese makmum yo, bukan imam. Oh Negeri Sembilan, Negeri Beradat, kaya dengan adat tapi miskin iman MANA IMAM MASJID YANG DILANTIK KERAJAAN WAKTU SOLAT FARDU? Baru-baru ini pada hujung tahun 2012 saya singgah di sebuah masjid di tepi jalan utama di Negeri Sembilan untuk solat Maghrib. Waktu saya sampai waktu Maghrib lagi 5 minit nak masuk. Hanya kelihatan seorang jemaah yang bukan ahli kariah masjid tersebut. Apabila masuk waktu selepas beberapa minit menunggu, disebabkan bilal belum sampai maka jemaah yang seorang tadi yang bukan bilal rasmi masjid tersebut pun azan. Selepas solat sunat, selepas beberapa minit menunggu, jemaah tadi pun iqamah. Ada seorang jemaah lain lagi baru datang, saya pun mintalah jemaah tadi jadi imam, dia kata dia bukan orang situ, yang azan pun bukan orang situ, lalu mereka minta saya jadi imam. Saya pun bukan ahli kariah masjid tersebut, dalam perjalanan pula, pakai seluar lagi. Dah tak ada orang tempatan dalam jemaah lalu saya mengimamkan solat Maghrib. Saya mohonlah agar mereka yang bertanggungjawab menjaga masjid terutama yang ada kuasa memerintah supaya tolong perhatikan apa yang berlaku di masjid-masjid di Negeri Sembilan ini. Adakah imam yang dilantik menjalankan tugas, adakah elaun yang diberi cukup untuk imam datang mengimamkan solat, adakah elaun yang diberikan kepada bilal cukup untuk bilal datang melaungkan azan. Atau kita hanya sekadar jadi juara di Perhimpunan Agung atau Muktamar sahaja? Atau kita hanya bermegah-megah dengan masjid yang harganya berjuta-juta ringgit tetapi bukan sahaja tiada makmum, bahkan tiada imam rasmi yang dilantik oleh kerajaan untuk mengimamkan solat pada setiap waktu? |
You are subscribed to email updates from di rembau - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan