di negeri sembilan - Google Blog Search |
ASPAN ALIAS: Skandal balak <b>Negeri Sembilan</b> mula terbongkar Posted: 23 Oct 2012 06:31 PM PDT Isa Samad dan Mohamad Hasan bertanggungjawab terhadap Negeri Sembilan yang sudah telah kehilangan 53 kawasan hutan kekal mengikut laporan WWF (World Wildlife Fund). Perkara ini didedahkan oleh Rafizi Ramli, Pengarah Stratejik PKR, dalam sidang akhbar beliau di Seremban semalam. Pendedahan Rafizi itu telah memberikan input yang berguna kepada ramai rakyat Negeri Sembilan. Rakyat NS sudah mengetahui fakta sebenar tentang isu ini. Ramai di antara penggiat politik di Negeri Sembilan menggunakan hutan simpan sebagai sumber kekayaan dan inilah cara yang paling mudah untuk hidup dengan bergaya. Malahan Menteri Besar menggunakan balak sebagai senjata politik untuk menambat sokongan pemimpin-pemimpin di sekeliling beliau. Balak telah digunakan oleh MB untuk menaik dan menjatuhkan sesiapa di Negeri Sembilan sejak dari dulu terutamanya semasa pentadbiran MB yang terdahulu. 'Compartment' balak diberikan kepada pemimpin dan penggiat politik yang menyokong Menteri Besar untuk menjauhkan sesiapa yang tidak sebulu dan sehayun dengan kehendak Menteri Besar. Saya tahu sikit-sikit kerana saya lama bercampur dan bergiat bersama UMNO di negeri adat itu. Dalam era lapan puluhan dan sembilan puluhan pejabat hutan negeri dan daerah-daerah di NS merupakan pejabat kerajaan yang paling sibuk kerana begitu ramai yang berlumba-lumba untuk membotakkan bukit dan bukau di negeri adat itu. Tetapi saya tidak berapa pasti sejauh mana isu ini menjadi isu kepada MB sekarang, kerana semasa beliau memanjat pejabat Setiausaha Kerajaan itu saya sudah tidak bergiat di dalam parti itu secara aktif lagi. Pendedahan oleh Rafizi ini sepatutnya disambut oleh semua pihak kerana balak ini memang menjadi bahan untuk ahli politik di Negeri Sembilan, terutamanya semasa pentadbiran Isa Samad. Hutan balak ini merupakan bahan yang digunakan oleh Isa selama 21 tahun beliau menjadi MB dan balak ini jugalah yang menambat sokongan ramai pemimpin dan wakil-wakil rakyat di negeri itu sejak beberapa lama. Malahan semasa Mohamad Hasan mengambil alih kepimpinan Negeri Sembilan beliau dikhabarkan telah membatalkan banyak 'compartment' hutan yang telah diluluskan oleh Isa sebelum beliau meninggalkan pejabat Menteri Besar itu. Tindakan Mohamad itu dengar khabarnya telah menjadi perkara yang panas kerana ramai di antara penerima konsessi balak ini telah menerima wang pendahuluan dari towkey-towkey balak dari serata negara. Ramai yang menerima konsessi 'compartment' balak itu telah kerugian kerana kroni-kroni yang mendapat konsessi itu telah membelanjakan semua wang yang didapati melalui pembayaran pendahuluan dari tawkey-tawkey balak yang berdiri di belakang pemohon-pemohon konsessi itu. Pendedahan Rafizi tentang isu ini menunjukkan kerakusan dan sikap tidak bertanggungjawab MB yang terlibat kerana pembalakan itu berlaku ke kawasan tadahan air dan hutan simpanan kekal yang telah digezetkan sejak tahun 1918 dahulu. Sebenarnya balak inilah yang menjadikan Isa kuat tetapi hasilnya ia telah menjahanamkan Negeri Sembilan sampai ke tahap yang amat payah untuk dipulihkan. Dari tahun 2005 sehingga tahun 2007 sahaja seluas 8616 hektar tanah hutan simpan telah dilibatkan dan ini merupakan keluasan yang amat besar dan ia amat memalukan serta tidak bermoral sekali. NS dianggap sebagai kejadian pencerobohan hutan simpan yang paling teruk sekali di dalam Semenanjung Malaysia ini. Sekarang nyata yang Isa serta Mohamad tidak mengambil 'accountability' ke atas isu ini. Jangan tidak mengambil tanggungjawab dengan hanya berdiam diri sahaja. Rafizi telah berjanji akan mendedahkan banyak lagi tentang isu pembotakkan hutan yang dilakukan oleh Isa terutamanya dan Mohamad Hasan juga tidak boleh terlepas daripada tanggungjawab untuk memberikan penjelasan tentang isu ini. Saya pula sentiasa tertunggu-tunggu pendedahan ini kerana ini merupakan sikap kepimpinan yang tidak bertanggungjawab dan wajar mendapat pembicaraan rakyat khususnya dalam pilihanraya yang akan datang ini. Yang sangat membimbangkan dan menyedihkan keluasan hutan yang dibotakkan dalam tempoh 2005 dan 2007 sahaja adalah seluas 8616 hektar. Bagaimana pula di tahun-tahun dan waktu yang selain dari tempoh 2005 dan 2007 itu? Apakah perasaan Menteri Besar yang telah membatalkan gezet tanah rezap hutan kekal seluas 487 hektar di Jeram Padang itu? Tidakkah Menteri Besar itu berasa bersalah melakukannya? Pentadbiran Inggeris pun tidak menjahanamkan kawasan tadahan air itu dan merekalah (Inggeris) yang menggezetkan kawasan itu sebagai kawasan rezap kekal, tetapi pemimpin Melayu pula yang menyanggahnya. Rafizi telah memulakan pendedahan ini dan beliau tidak boleh berhenti setengah jalan kerana ramai rakyat di Negeri Sembilan ingin tahu keadaan yang sebenarnya. Bagi saya tindakan tidak bertanggungjawab pimpinan di Negeri Sembilan ini sangat wajar diketahui umum dan akhirnya rakyat mahukan MB-MB (Isa dan Mohammad) memberikan penjelasan kepada rakyat secara telus dan benar. Kita tunggu pendedahan-pendedahan selanjutnya dari Rafizi dan kita akan fikirkan cara bagaimana hendak mendapatkan penyelesaiannya. Ada dua cara penyelesaiannya: pertamanya melalui undang-undang dan keduanya melalui tindakan politik Jika hendak diambil tindakan undang-undang ia mungkin memakan masa yang panjang. Jika hendak mengambil tindakan melalui politik ia boleh diselesaikan semasa pilihanraya nanti melalui peti-peti undi. Pilihlah kaedah yang sesuai untuk memperbetulkan keadaan ini. Kalau ditanya pendapat saya cara yang paling cepat dan mudah ialah melalui peti-peti undi dalam pilihanraya yang akan datang ini kerana dengan cara ini tidak payah membazirkan masa mahkamah dan kosnya pun terlalu tinggi. Kepada Rafizi, saya sudah bersedia untuk menyambut dan menulis tentang isu hangat di NS ini terus-terusan. Jika boleh, dedahkan berapakah perolehan Kerajaan Negeri, hasil dari balak yang ditebang secara meluas itu. Kita mesti sedar penebangan balak yang begitu meluas itu adalah tindakan mencuri dan mereka mesti dijauhkan dari mendekati khazanah negeri melalui pilihanraya yang akan datang ini. Kalau kita mahukan harta benda dan khazanah kita diselongkar dan dicuri, menyambung kuasa kepada BN itu adalah jalan yang terbaik. Jika kita berazam untuk menjaga khazanah kita yang dianugerah Tuhan itu maka mengenepikan mereka adalah satu tindakan yang wajib terlaksana. Usaha mengenepikan pimpinan dan kerajaan durjana seperti ini merupakan satu ubudiah yang sangat mulia. Pemimpin seperti ini jika pergi ke mana-mana pun akan melakukan segala noda politik dan ekonomi kepada negara yang kita cintai ini. Mereka seperti ini merupakan makhluk perosak dan akan membawa bencana kepada negeri dan negara kita. Ini adalah kerana sifat suka mencuri itu sudah mengalir di dalam darah daging dan sanubari mereka. Ada satu perbilangan 'once a thief he remains a thief'. Fikir-fikirkanlah. |
You are subscribed to email updates from di negeri sembilan - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan