05 di linggi - Google Blog Search |
Kampung Permatang Pasir, <b>Linggi</b> - SAMBUNG-MENYAMBUNG <b>...</b> Posted: 05 Aug 2012 05:49 PM PDT Catatan ini ialah edisi baharu subtajuk satu tugasan kursus Kesusasteraan Rakyat Melayu di Universiti Sains Malaysia pada bulan Februari 1978. Tugasan itu berupa kajian tiga buah legenda di Kampung Permatang Pasir, Port Dickson, Negeri Sembilan. Kajian itu dilakukan pada bulan Januari 1978. Catatan tentang tempat yang menjadi latar legenda-legenda itu melancarkan analisis dan meningkatkan pemahaman pengkaji tentang perkara yang dikaji. Ditegaskan, tugasan itu ditulis pada tahun 1978 dan catatan ini berdasarkan dapatan kajian pada masa itu. Kampung Permatang Pasir terletak dalam Mukim Linggi, Daerah Port Dickson, Negeri Sembilan. Jikalau kita berperahu di Sungai Linggi untuk menuju ke kuala, keseluruhan kampung ini berada di sebelah kanan sungai. Kampung ini bersempadan dengan dua buah pekan, iaitu Pangkalan Kundang (Linggi) di hulu dan Pangkalan Kempas di hilir. Sebatang jalan raya merentasi kampung. Dengan menggunakan jalan raya itu, jarak kampung ini ke Seremban ialah 37 kilometer dan ke Port Dickson ialah 42 kilometer. Kebanyakan kawasan kampung ini tanah datar. Ada sedikit kawasan paya, terutamanya di sepanjang jalan raya. Ada pula sedikit kawasan yang agar berbukit, iaitu bahagian yang bersempadan dengan estet getah. Bahagian kampung di sebelah kiri jalan raya menurun ke sungai, dipanggil baruh. Bahagian kampung yang berhampiran dengan Pangkalan Kempas disebut hilir. Bahagian di sebelah kanan jalan raya terbahagi dua. Kawasan dari masjid ke hilir dinamakan darat. Kawasan dari masjid menghala ke Linggi dipanggil hulu. Pada masa dahulu orang di darat berhuma, termasuk bertanam getah. Orang di hulu bersawah, mencari palas, mengusahakan atap nipah dan memburu hidupan sungai. Orang di baruh bercucuk tanam, mengusahakan atap nipah dan memburu hidupan sungai. Orang di hilir menangkap udang galah dan ikan serta mencari tiram. Pada tahun 1978 kebanyakan penduduk kampung ini bekerja sebagai penoreh getah dan buruh di estet yang berhampiran. Tanah sawah tidak diusahakan lagi kerana masalah pengairan. Beberapa orang penduduk menjadi kakitangan kerajaan seperti guru, polis, tentera dan kerani. Ada juga golongan yang berpendidikan tinggi dan profesional. Kebanyakan mereka tidak menetap di kampung ini. Ada beberapa keluarga masih menjadikan sungai sebagai sumber rezeki. Tuan Haji Zubir bin Hamzah menyatakan bahawa kampung ini berusia kira-kira 200 tahun. Penduduk kampung ini lebih kurang 150 keluarga. Hampir kesemuanya orang Melayu-Islam. Hanya ada satu keluarga Cina, satu keluarga India dan dua keluarga Jawa. Di kampung ini penduduk yang berusia 65 tahun ke atas masih banyak. Kebanyakan mereka masih tegap dan masih bekerja. Sekurang-kurangnya tiga orang penduduk berumur lebih 80 tahun. Generasi muda tidak tinggal di kampung ini. Kebanyakan mereka merantau di bandar. Banyak anak jati kampung ini sudah atau sedang belajar di institusi pengajian tinggi di dalam dan di luar negara. Keadaan ekonomi penduduk kampung ini secara puratra sederhana. Bekalan elektrik dan air ada di kampung ini. Terdapat beberapa buah rumah batu, banyak rumah kayu yang besar, sedikit rumah tua dan sebuah dua buah rumah yang menyerupai pondok. Kedai-kedai, masjid dan balai raya terletak di bahagian tengah kampung. Sekolah rendah terletak di hilir. Masjid dan kedai kopi digunakan oleh orang-orang tua dan segelintir generasi muda sebagai tempat berkumpul untuk membincangkan berbagai-bagai isu semasa seperti harga getah dan hal politik. Balai raya digunakan sebagai tempat bermesyuarat. Balai raya juga digunakan sebagai perpustakaan kecil yang ditadbir oleh persatuan belia. Tiada kegiatan sukan. Tiada juga kegiatan seni mempertahankan diri. Yang ada ialah kumpulan rebana. Kumpulan itu dianggotai oleh 10 orang lelaki yang berusia 40-an hingga 60-an. Penduduk kampung ini mengamalkan Adat Temenggung. Adat ini hampir sama dengan adat Melayu yang umum di Semenanjung. Penduduk kampung ini masih mengamalkan adat lama seperti melenggang perut dan cukur jambul. Ada lima orang dukun. Ada pula dua orang tukang urut yang mampu merawat salah urat, terkehel dan patah anggota. Seorang tukang urut itu ialah anak muda. Di samping menggunakan perkhidmatan dukun dan tukang urut, penduduk kampung ini juga menggunakan perkhidmatan pusat kesihatan yang berhampiran dan Hospital Besar Seremban. Hubungan sosial masyarakat kampung ini erat, terutamanya dalam kawasan sendiri (hulu, hilir, darat, baruh). Kegiatan gotong-royong seperti ketika mengendalikan perkahwinan dan menguruskan jenazah masih diamalkan. Amalan agama terserlah dalam kalangan orang tua. Kanak-kanak dibimbing oleh beberapa orang guru untuk membaca al-Quran. Beberapa orang penduduk kampung ini dikatakan "membela" atau "bersahabat" dengan sesuatu. Masyarakat kampung menganggap "belaan" dan "sahabat" mereka sebagai jin dan salah di sisi Islam, namun mereka kerap meminta "pertolongan" orang yang "membela" atau "bersahabat" itu. Di kampung ini terdapat sekurang-kurangnya empat kubur pawang. Kubur yang masyhur dan kini ditadbir oleh Muzium Negara ialah Keramat Sungai Udang di Pangkalan Kempas. Kubur itu ialah kubur Syeikh Ahmad bertarikh 1467 Masehi. Kubur Berahim diceritakan dalam legenda Keramat Kampung Luar. Dua kubur lagi ialah Keramat Haji Lela dan Keramat Bukit Penakai. Kedua-dua kubur ini tidak dapat dipastikan sama ada sudah melalui tiga generasi atau belum. Jadi, legenda tentang kubur-kubur itu tidak dimasukkan dalam kajian ini. |
Bicara Minda: SABAR SEBAHAGIAN DARIPADA IMAN Posted: 12 Aug 2012 07:26 AM PDT (Disiarkan 11. 8. 2012) Firman Allah s.w.t. surah Az-Zumar ayat 10 yang bermaksud (terjemahan): Katakan: "Hai hamba-hamba yang beriman, bertakwalah kepada Tuhan kamu!" Orang yang berbuat kebajikan di dunia ini mendapat kebaikan. Dan bumi Allah itu adalah luas. Hanyasanya orang-orang yang sabar itu dicukupkan pahala mereka dengan tiada terkira". "Katakan!", Iaitu perintah dari Allah kepada Muhammad s.a.w. supaya menyampaikan perintah Allah kepada hamba-hamba-Nya. "Hai hamba-hamba-Ku yang beriman, bertakwalah kepada Tuhan mu!" Di antara iman dengan takwa adalah lengkap melangkapi. Beriman atau percaya saja belum cukup sebelum dilengkapi dengan takwa iaitu mengadakan hubungan dan memelihara hubungan dengan Tuhan. Takwa ialah guna memupuk iman. Amal yang saleh adalah bukti dari iman dan buah dari takwa. Orang yang bertakwa selalu berusaha mengisi hidupnya dengan amal yang saleh. "Bagi orang-orang yang berbuat kebajikan di dunia ini adalah kebaikan." Asal orang suka berbuat baik di dunia ini dia mesti mendapat ganjaran yang baik dari Allah di dunia dan di akhirat. Di dunia ini ialah kesenangan hati, kelapangan dada, kesihatan badan. Al-Quthubi menambahkan bahawa penghargaan dan pujian yang baik dari masyarakat pun merupakan suatu kebajikan jua. Semuanya ini di dunia, dan di akhirat tentu lebih lagi. "Dan bumi Allah itu adalah luas." Dalam erti kata lain memperluas dan memperlapang kan hati orang yang beriman dan bertakwa. Kalau di suatu tempat tidak dapat mengembagkan sayap kebajikan boleh pindah ke tempat lain, di sanalah kembangkan kebajikan itu. Ramai manusia tidak dapat bertumbuh bakatnya kalau dia hanya mengurung diri di tempat kelahiran nya. Maka ambillah kesempatan mengembangkan di tempat lain, jangan terikat di kampung sendiri yang sempit. Satu contoh yang amat baik seperti sebilangan masyarakat Islam dari Ranau berpindah ke Keningau. Jika mereka memaksa diri kekal berusaha di kampung tempat asalnya tidak mungkin pembangunan dari segi jasmani dan rohani yang dikecapi sekarang akan diperolehi mereka. Dan pembangunan rohani dan jasmani yang telah mereka lahirkan di Keningau menjadi pemangkin kepada masyarakat tempatan khasnya dan negeri Sabah amnya untuk mengubah cara hidup mereka. "Hanyasanya orang-orang yang sabar itu dicukupkan pahala mereka dengan tiada terkira". Di hujung ayat disyaratkan pula bahawasanya beriman mengisi hidup dengan takwa dan berbuat kebajikan tidaklah semudah apa yang kita fikirkan. Lantaran itulah maka Tuhan pun membayangkan bahawa bumi Allah ini luas. Kalau perlu pindah dari satu negeri yang disana beramal terlalu sempit ke tempat lain yang mendapat alam lebih lapang untuk beramal. Di dalam perjuangan menegakkan kebenaran itu banyaklah percobaan yang akan diderita, sebab iman itu selalu diuji. Kalau kuat akan bertambah naik, kalau lemah akan jatuh . Maka alat utama untuk menangkis percobaan ialah sabar, tahan hati, tabah. Hanya orang yang sabar saja yang akan sampai kepada apa yang dituju, iaitu pahala yang berganda-lipat di sisi Allah s.w.t. Menurut tafsir dari al-Imam A-'Auza'I, orang-orang yang sabar dan tahan menderita itu di akhirat kelak tidaklah ditambah berat atau ringan amalnya melainkan sudah disediakan saja buat mereka bilik-bilik istirehat yang mulia di syurga. Dalam surah Ali Imran ayat 146, Allah berfirman yang bermaksud (terjemahan): "Beberapa rami nabi, bersama-samanya kumpulan orang-orang ramai ikut berperang. Tiadalah mereka takut menerima cubaan (peperangan) pada jalan Allah, tiada mereka lemah dan tiada pula tunduk. Allah mengasihi orang-orang yang sabar." Amat banyak nabi di zaman lampau yang berperang diikuti oleh orang ramai yang beriman dengannya. Orang-orang tersebut menganggap para nabi itu sebagai guru yang membawa petunjuk kepada mereka – bukan sebagai orang yang diagung-agungkan untuk disembah. Tiadalah mereka takut sekiranya ada didapati di antara mereka yang luka atau terbunuh dalam peperangan, walaupun yang terbunuh itu Nabi mereka sendiri umpamanya. Kerana mereka berperang kerana Allah – bukan kerana nabi. Sebab nabi itu hanya menyampai kan perintah dari Tuhannya untuk membimbing umatnya. Mereka itu tidak merasa lemah untuk berjuang melawan musuh, ataupun tunduk lalu mengalah, bahkan tiada pula mahu berpaling tadah. Mereka tetap di dalam pendirian mereka dan sabar dalam perjuangan, kerana mereka yakin Tuhan akan mengasihi orang-orang yang sabar. Sabar itu mempunyai beberapa faidah-faidah dan hikmatnya dalam hidup seorang mukmin. Tuhan yang bersifat Rahman dan Rahim, menggerakkan kita kepada sabar dan berhati-hati serta hemat cermat dalam melaksanakan segala rupa pekerjaan, agar kita menjadi orang yang berbuat baik. Tuhan telah menjadikan sabar itu dari tanda kekukuhan cita-cita. Tuhan telah menerangkan, bahawa umat-umat yang dahulu mendapat kebaikan yang sempurna lantaran sabar dan ada umat yang mendapat dua ganda pahala disebabkan sabar, juga Tuhan menerangkan bahawa inayat-Nya dilimpahkan atas orang-orang yang sabar. Seterusnya Tuhan memerintahkan kita supaya mempergunakan sabar itu menjadi senjata sakti buat mencapai tiap-tiap maksud, bahkan Tuhan mewajibkan kita bersabar. Maka apakah gerangan rahsia-rahsia sabar itu? Manusia bila ditimpa bencana, bila mengalami kesulitan dan kesukaran, kalau dapat bersabar, kalau dapat menolak keloh kesah, ia dapat mematahkan tipu musuhnya dan menggembirakan temannya, dan sanggup berfikir jauh untuk melepaskan diri dari bencana yang menimpanya. Kalau ia dimusuhi oleh seseorang, maka ia menerima pemusuhan orang itu dengan kesabaran, menanti waktu yang terbaik, dapatlah ia membalas, jika ia dikehendaki. Apabila ia ingin menyelesaikan sesuatu pekerjaan dan bersenjatkan sabar, besarlah harapan akan diperolehinya. Sebaliknya jika ia menjauhkan sabar, tak dapatlah ia mencapai maksudnya. Kalau pun dicapainya, pasti tidak akan kekal. Ingatlah kata pepatah: "fikir itu pelita hati". Iman adalah kekuatan naluri manusia memahami bahawa di sebalik kewujudan setiap makhluk dalam fenomena alam, ada yang berkuasa mewujudkannya, iaitu Allah s.w.t. Kesabaran dalam segala tindakan muamalat manusia berpangkal kepada hati atau naluri setiap insan yang disandarkankan kepada kekuasaan Zat yang Maha Berkuasa, Allah. Maka itu Iman dan sabar sewajarnyalah dua fenomena yang tidak boleh dipisahkan. Untuk mengukuhkan keberadaan kedua naluri, iman dan sabar tersebut, dalam diri setiap mukmin, Allah sediakan satu disiplin hidup atau cara hidup agar keduanya sentiasa saling bantu membantu antara satu sama lain untuk memelihara kesucian dalam segala muamalat manusia di sisi Allah s.w.t. Islam adalah satu cara hidup yang diturunkan Allah s.w.t. kepada manusia (Muhammad) untuk membantunya dalam segala hal disiplin pembangunan kehidupan di muka bumi ini. Dalam surah Ali Imran ayat 19, Allah berfirman yang bermaksud(terjemahan): "Bahawa sanya agama di sisi Allah ialah Islam." Surah yang sama ayat 85, Allah berfirman yang bermaksud (terjemahan): "Dan barang siapa memeluk agama yang selain dan agama Islam, maka tiadalah sekali-kali diterima penuntutnya itu dan dia di hari akhirat dari orang-orang yang rugi". Telah nyata dengan seterang-terangnya kepada kita, bahawa Islam itu mengumpulkan antara yang kembali kepada madah (benda) dengan yang kembali kepada ruh (jiwa) dan kebatinan. Masing-masingnya diberi bahagian yang sempurna. Mengikut Prof. Dr. Al-Sheikh Abdul Halim Mahmud dalam bukunya "Islam dan Akal" . Islam bermakna: penyerahan kepada Allah pada setiap perkara, gerak geri dan urusan seluruhnya. Ayat suci al-Quran menggambarkan hakikat ini dalam surah al-An'am 6:165 yang bermaksud (terjemahan): "Katakanlah sesungguhnya sembahyangku, Ibadahku, hidupku dan matiku kerana Allah, Tuhan semesta alam, tidak ada baginya sekutu dan demikian itu akan diperintahkan dan akan aku adalah orang pertama daripada kaum Muslimin." Gambaran al-Quran ini sangatlah menarik dan mendalam. Penyerahan kepada Allah ertinya masuk kedalam skop ketuhanan, menjauhkan diri daripada hawa nafsu dan syaitan. Ia adalah penyerahan wajah kepada Allah. Hakikat ini berbeza dengan skop ketuhanan seperti yang dikehendaki oleh komunis. Islam mempunyai kaitan rapat dengan system-sistem yang terselamat daripada salah dan silap (('ismah). Lantas wujud akhlak dan perundangan yang ma'sum sepenuhnya, tetapi penyerahan kepada Allah tidak sekadar dengan pengakuan semata-mata, ia menuntut satu perkara lagi iaitu 'jihad" dan kesinambungan perjuangan demi kebenaran, kebaikan dan meninggikan kalimah Allah. Sekiranya jihad tidak wujud demi Islam, maka Islam juga tidak wujud. Seorang yang tidak pernah berjihad demi kerana Islam yang dianutinya, maka dia bukan seorang muslim. Jestru itu jihad perlu dan sekali gus terarah kepada menjadikan insan sebagai seorang yang rabbani atau ilahi (yang melaksanakan perintah Allah dengan sepenuhnya). Melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadan merupakan jihad kerana Allah, maka itu orang yang tidak berpuasa atas dasar, masalah peribadi yang lemahnya iman maka ia bukan seorang muslim. Mereka yang diserang penyakit gestrik biasanya menghalalkan diri dari melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadan. Penyakit jasmani tersebut menginap pada diri anda merupakan ujian Allah, sejauh mana imannya bersama dengan kesabarannya menempuhi ujian berkenaan. Kalau ia mengalah bermakna dia bukan seorang muslim. Dengan iman dalam melaksanakan ibadat wajar diserikan dengan kesabaran kerana senjata sabar sahaja akan membuahkan kebijaksanaan dalam urusan pembangunan atas dasar bertawakkal kepada Allah. Tawakkal, adalah percayamu kepada janji Allah dengan tidak melemah sedikit pun kerana adanya peristiwa-peristiwa (musibah), betapa pun banyak dan besarnya. Iman itu adalah kemuliaan yang maha harganya. Tidaklah berbeza-beza seorang manusia dengan manusia yang lain pada sisi Allah, lantaran harta bendanya, atau lantaran pangkatnya, turunannya dan lain-lain. Yang berbeza adalah lantaran kelebihan iman. Sebab itu mesti diuji Tuhan lebih dahulu dalam dan ceteknya iman seseorang, tulinkah atau palsu. Jika tidak bergeser iman dari tempatnya seketika kedatangan ujian dan cubaan, barulah boleh disebut beriman. Kadang-kala telah berkali-kali dia berdoa, memohon dan meminta dengan sepenuh hati kepada Tuhan. Tetapi permintaan dan doanya itu tidak juga dikabulkan Tuhan. Apakah kecewa dia lantaran belum terkabul? Atau berkecil hatikah dia? Seorang mukmin tidak kesal dan kecewa lantaran permintaannya belum terkabul. Kerana dia tahu bahawa dirinya itu di bawah perintah dan aturan Tuhan semesta. Yang Maha Tahu mengagak menentukan, yang segala aturan-Nya, tidak dibuat dengan sia-sia, yang tidak mahu menganiaya hamba-Nya. Tetapi kalau dia membantah, terlepas dia dari darjat Ubudiyah (perhambaan) dan jatuh kepada Syaithaniyah terkutuk, yang suka sekali membantah ketentuan. Nyata dan terang bahawa kekuatan dan kecukupan iman itu dapat dibuktikan seketika datang bala dan bencana, ujian dan cubaan. Pada kaum muslimin dan muslimat selamat melaksanakan ibadah puasa moga diampuni segala dosa, amin. |
You are subscribed to email updates from di linggi - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan