Ahad, 8 Julai 2012

05 di linggi - Google Blog Search

05 di linggi - Google Blog Search


Program Khidmat Komuniti 1Malaysia Dun <b>Linggi</b>, Port Dickson

Posted: 02 Jul 2012 02:23 PM PDT

Port Dickson, 1 Julai – Program Khidmat Komuniti 1Malaysia Dun Linggi, Port Dickson telah berjaya dijalankan dengan jayanya semalam. Program khidmat komuniti ini dijalankan di antara penduduk di dalam komuniti Pengkalan Durian, Dun Linggi bersama dengan pelatih-pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Pasir Panjang Port Dickson.  Program telah bermula seawal jam 7 pagi apabila bas-bas PLKN Pasir Panjang membawa pelatih-pelatih menuju ke Komuniti Pengkalan Durian dan beramah mesra bersama penduduk komuniti. Selesai menikmati sedikit jamuan ringan untuk mengalas perut sebelum aktiviti gotong royong dijalankan.

Pelbagai aktiviti gotong royong telah dirancang terlebih dahulu oleh pihak jawatankuasa. Pelatih-pelatih perempuan bersama-sama dengan ahli Bengkel Memasak Wanita Komuniti 1M Dun Linggi telah bergotong royong untuk menyiapkan masakan tengahari. Pelbagai aksi lucu dapat dilihat ketika ini kerana ada di antara pelatih yang tidak pernah turun ke dapur untuk menolong ibunya memasak. Pengalaman pertama mereka untuk mengenali bahan-bahan masakan juga mencuit hati namun ada jua pelatih yang sudah biasa memasak dan turut sama membantu wanita kampung menyediakan masakan kampung tradisional Negeri Sembilan yang terkenal dengan masak lomak cili api dan pedas itu.

Sementara itu, pelatih lelaki pula bersama-sama dengan penduduk kampung bergotong-royong membersihkan kawasan balai raya dan masjid Kampung Pengkalan Durian. Mereka membersihkan semak samun dan sampah sarap yang boleh mengundang pembiakan nyamuk aedes dan risiko penyakit denggi. Kegiatan ini amat baik kerana mereka dapat mengeluarkan peluh dan memupuk budaya pentingkan kebersihan di kalangan golongan muda kita pada hari ini, tambahan pula kebersihan adalah sesuatu yang amat dituntut oleh agama.

Setelah hampir 3 jam bergotong royong, peserta telah berehat dan membersihkan diri untuk program yang seterusnya. Hidangan makan tengahari telah terhidang, tibalah masa untuk menikmati jamuan hidangan makan tengahari yang juga disediakan secara bergotong royong kaum wanita sejak dari awal pagi tadi. Ketika ini, semua peserta telah menikmati hidangan secara santai dan mesra di kawasan Balairaya Kampung Pengkalan Durian yang juga adalah kawasan YB Dato' Hj Ismail Taib. Suasana mesra di antara pelatih dan juga penduduk kampung ketika ini bagus dijadikan sebagai contoh untuk budaya menghormati yang tua, sayangi yang muda. Semua rakyat Malaysia haruslah bersama-sama untuk mengekalkan dan meneruskan keamanan yang kita kecapi pada hari ini agar ianya dapat diwarisi kepada generasi muda pada masa akan datang. Janganlah ketidaksamaan dalam pendapat menjadi punca kepada perbalahan yang akhirnya akan membawa kesan yang negatif kepada semua.

Setelah selesai makan, telah diadakan majlis perasmian penutup di mana wakil peserta PLKN telah diberi peluang untuk menyampaikan ucapan mengenai pengalaman yang telah dirasai olehnya sepanjang program berlangsung. Beliau menyatakan bahawa beliau merasa cukup bertuah kerana telah terpilih untuk menyertai program pada hari ini kerana dapat menjalankan satu aktiviti yang amat sihat dan merapatkan tali silaturahim dengan penduduk kampung. YB Dato' Hj Ismail Taib pula dalam ucapannya menyatakan bahawa Modul Khidmat Komuniti 1Malaysia PLKN  ini adalah satu program yang amat baik dan harus diteruskan lagi pada masa hadapan. Selain daripada dapat bergotong royong membersihkan kawasan kampung bersama penduduk kampung, ianya dapat memberikan pengalaman yang amat berguna kepada pelatih kerana mereka dapat mempelajari banyak maksud tersirat daripada perlaksanaan modul ini. Beliau juga menyatakan program pada hari ini adalah kesinambungan daripada beberapa siri khidmat komuniti yang telah dijalankan sepanjang 3 minggu yang lepas di beberapa kawasan di dalam Dun Linggi bertepatan dengan kehendak modul.  Modul khidmat komuniti mempunyai lima komponen utama iaitu kemudahan awam, kejiranan, khidmat sosial, alam sekitar dan penempatan di Jabatan. Ini bermakna, sepanjang program berjalan, para pelatih akan melalui kelima-lima komponen tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan dan siri gotong royong pada hari ini adalah acara kemuncak dan penutup kepada Modul Khidmat Komuniti 1Malaysia PLKN Pasir Panjang.

Hampir 250 orang pelatih PLKN dan 350 penduduk kampung telah menyertai program ini termasuk juga YB Dato' Hj Ismail Taib, Adun Kawasan Linggi merangkap Exco  Kesihatan, Sains & Teknologi dan Inovasi Negeri Sembilan dan juga komandan serta jurulatih Kem PLKN Pasir Panjang Port Dickson. Turut sama hadir pada majlis penutup adalah Pegawai Penerangan Daerah Port Dickson, En Misman Madiman. Hampir kesemua peserta yang sempat ditemui menyatakan kegembiraan mereka dan berharap untuk dapat menyertai program ini di masa hadapan jika berpeluang. Majlis perasmian penutup telah selesai disempurnakan oleh YB Dato' Ismail Taib selepas itu dan semua peserta dan pelatih telah pulang dengan membawa seribu kenangan yang tidak akan dilupakan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads