Rabu, 20 Jun 2012

05 di juasseh - Google Blog Search

05 di juasseh - Google Blog Search


Lotfi's Site ~ Laman Lotfi - Along Kemalangan (Dikemaskini 20/7/08)

Posted: 11 Jul 2008 12:34 AM PDT

Along Kemalangan

Kakak kepada isteri saya Murni, Cikgu Rosmala Mustafa (Along), terlibat dalam suatu kemalangan jalanraya di Juasseh, Kuala Pilah, pada tengah hari Sabtu 28 Jun 2008. Mendapat berita tersebut keluarga kami sekereta terus berkejar ke Kuala Pilah petang itu juga.

Along dalam perjalanan pulang ke Seremban setelah membawa pelajar-pelajar sekolah beliau (Sekolah Pendita Zaaba di Paroi) dan Sekolah Teknik Pahang yang melawat sekolahnya ke sana paginya dalam satu rombongan dua kereta dan satu bas, apabila sebuah kereta Viva memasuki laluannya dan bertembung dengan kereta Kia Sephianya dari depan.

Lantaran daripada kemalangan tersebut Along mengalami patah sebelas tulang rusuknya, pecah tempurung lututnya, patah tulang pehanya dan tulang tangannya, serta retak tulang tengkuknya. Beliau telah dipindahkan dari Hospital Kuala Pilah ke Hospital Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, petang itu juga, dan dimasukkan ke dalam High Dependency Ward tengah malamnya lantaran beliau memerlukan bantuan pernafasan kerana tulang rusuk yang patah. AlhamduliLlah setakat ini beliau sedar dan tiada tanda-tanda mengalami kecederaan dalaman.

Alhamdulilah penumpang lain-lain kereta beliau (seorang guru dan 3 orang pelajar) cedera ringan sahaja, kecuali seorang pelajar yang terhumban ke depan dan patah kaki. Pemandu kereta Viva, seorang guru wanita muda yang dalam perjalanan dari Seremban (setelah mengajar) ke Pasoh, pula tenat dan koma, setelah terkepit dan terpaksa dikeluarkan oleh bomba, dan telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk perhatian selanjutnya malam itu juga.

Malam ini (Isnin malam Selasa) Along menjalani suatu pembedahan bagi merawat tulang kakinya (femur) yang patah. Kita doakan agar beliau selamat dan sembuh segera. Murni masih tinggal di Seremban untuk membantu setakat mana boleh di sana.

Kemaskini pagi Selasa 1 Julai: Along telah selamat dioperasi malam tadi dan kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kemaskini pagi Jumaat 4 Julai: Foto-foto kereta Kia Sephia Along dan kereta Viva yang melanggarnya, yang diambil oleh Aidi Bahar (adik Murni) di bengkel di Kuala Pilah, dimuatnaikkan di bawah.

Kemaskini petang Isnin 7 Julai: Hujung minggu lepas saya sempat menziarahi Along di ICU Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, setelah selesai bengkel projek penyelidikan saya di IOI Putrajaya. Murni memanjangkan cuti kecemasannya hingga hari Rabu untuk menyelesaikan urusan dokumentasi pengambilan pembantu rumah dari Indonesia bagi membantu Along kelak setelah beliau keluar hospital, insya ALlah.

Juga saya mendapat tahu bahawa guru muda yang berlanggar dengan Along tempohari tidak dapat diselamatkan dan telah meninggal dunia malam kemalangan itu juga dalam perjalanan dari Seremban ke Hospital Kuala Lumpur. Khabarnya beliau ialah seorang guru J-QAF dan cuma berusia 23 tahun sahaja. Semoga ALlah mengampunkan dosa-dosanya dan mencucuri rahmah-Nya ke atas beliau. Inna liLlahi wa inna ilayhi raaji'uun.

Kemaskini petang Khamis 10 Julai: Murni telah kembali ke JB setelah berada di Seremban sejak hari kemalangan. Menurut beliau semalam (Rabu 9 Julai) Along telah dioperasi bagi memasang saluran penafasan melalui trachea (tenggorok) untuk memudahkannya bernafas dan bagi mengelakkan pergerakan tengkoknya semasa penggantian tiub penafasan. Kakinya juga telah dioperasi bagi memasang besi bagi mensejajarkan kembali tulang pehanya yang patah.

Kemaskini petang Jumaat 18 Julai:
Hari Isnin lepas ialah hari Ulangtahun Kelahiran Along yang ke-47. Kami sempat menziarah beliau pada hujungminggu sebelumnya untuk memberikan semangat kepada beliau.

Kemaskini hari Ahad malam Isnin 20 Julai: Saya sempat singgah menziarahi Along semasa dalam perjalanan pulang selepas menghadiri mesyuarat di Cyberjaya pada petang Jumaat 18 Julai. Semasa saya di sana, Mak Ngah emak saudara Murni yang di Kelantan tiba bersama suaminya. Beliau menangis melihat keadan Along. Pada pagi Sabtu Murni pula pergi ke Seremban bersama Kakcik untuk bersama Along, dan kembali malam ini tadi. Petang tadi Timbalan Yang Dipertua Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa), Dr Mohd Ali Baharum, datang melawat Along. Along ialah ahli Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Negeri Sembilan.

Foto-foto berkaitan boleh dilihat di: http://lotfialfikri.multiply.com/photos/album/111/

Kami ucapkan berbanyak terima kasih kepada semua yang mengucapkan takziah dan tak putus-putus melawat Along di ICU Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, yang antaranya dipaparkan di alamat: http://lotfialfikri.multiply.com/photos/album/116/

Baca juga nukilan anak saya 'Asim (Abang Yang) yang menziarahi Along, di blognya: http://flimsy89.blogspot.com/2008/07/sayu.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads