Isnin, 7 Mei 2012

05 di kuala klawang - Google Blog Search

05 di kuala klawang - Google Blog Search


Cetusan Mukara: PRU-13: apakah PR mampu memenangi Pertang?

Posted: 07 May 2012 03:36 AM PDT

Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa pada Pilihanraya Umum 1959, dun Pertang telah dimenangi oleh calon Bebas, iaitu Allahyarham Dato' Aminuddin Abdul Wahab. Ia mencatat sejarah yang bermakna di sebuah negeri yang dikira sebagai kubu kuat Umno. 
Namun, dalam PRU 1959 itu beberapa kemenangan telah dicatatkan oleh calon-calon dari Socialist Front iaitu di Labu, Rahang, Jimah, Rantau, Pasir Panjang dan Gemas. Malah seorang lagi calon bebas, Chin See Yin turut menang di Lukut.
Kisah-kisah kemenangan calon-calon bebas dan parti-parti bukan Perikatan tidak langsung diketengahkan dalam catatan sejarah kini untuk tatapan serta pembelajaran buat generasi baru. Ia seakan dipendamkan agar memperlihatkan gerakan politk yang tidak sealiran dengan Umno-Perikatan kelihatan 'tidak gagah', 'lemah' dan 'tiada dinamika politik'. Ia suatu yang harus diperbetulkan agar perspektif rakyat tentang persejarahan politik negara dapat diteladani dan difahami.
Dun Pertang dan Kuala Klawang telah diwujudkan sebelum PRU 1959. Sebelum itu, pada pilihanraya 1955 kedua-dua kawasan ini berada kawasan Jelebu. 
Perikatan telah memberi kouta kepada MCA untuk bertanding di Kuala Klawang dan Pertang menjadi kouta untuk Umno. 
Mengikut maklumat lampau, asalnya Kuala Klawang akan ditandingi oleh calon Umno namun disebabkan perubahan kouta agihan kerusi Perikatan, calon MCA diletakkan bertanding. Maka calon Umno yang sepatutnya bertanding di Kuala Klawang iaitu saudara Ibrahim Haji Mansor telah diletakkan bertanding di Pertang. Tindakan ini telah menyebabkan berlaku krisis dalam Umno Jelebu ketika itu berkenaan calon.
Anak tempatan di Pertang iaitu Haji Aminuddin Abdul Wahab adalah calon asal yang diangkat oleh Umno untuk menjadi calon di Pertang. Namun, keputusan Perikatan meletakkan calon bukan anak tempatan iaitu Ibrahim Haji Mansor yang berasal dari Kampung Tembun, Kuala Klawang telah mencetuskan ketidakpuasan hati beberapa pihak Umno di Pertang.
Malah Timbalan Presiden Umno ketika itu, Tun Abdul Razak telah menjalankan kempen memburukkan Haji Aminuddin Abdul Wahab. Ia adalah sebagai menaikkan kredibiliti calon pilihan Umno Pusat iaitu Ibrahim Haji Mansor.
Namun begitu, situasi itu tidak mematahkan semangat Haji Aminuddin dan beliau tetap masuk bertanding sebagai calon bebas. Hasilnya, beliau telah berjaya memenangi pilihanraya di Pertang dengan mendapat kelebihan undi sebanyak 800 lebih.
Kemudiannya, menyedari potensi dan kebijaksanaan strategi Haji Aminuddin, Tun Abdul Razak telah berjaya memujuk Haji Aminuddin menyertai Umno atas sebab perpaduan parti. Jawatan tertinggi yang pernah disandang oleh Haji Aminuddin Abdul Wahab adalah sebagai Speaker DUN Negeri Sembilan.
(jika ada sebarang tambahan maklumat atau pembetulan bagi tulisan di atas amat dialu-alukan)
(Sejarah politik semasa diambil dalam garis masa bermula dari tahun 1986 hingga kini.)
Dun Pertang kekal menjadi kouta agihan kerusi untuk Umno. Pada PRU 1986, Dun Pertang telah dimenangi oleh BN dengan majoriti 3,662 undi. Calon BN memperolehi 81.79% undi popular manakala calon Pas mendapat 18.21% undi popular. Ketika ini, kedudukan Umno-BN kukuh bertapak dikalangan pemilih Melayu dan kebanyakan rakyat. Pas di Negeri Sembilan pada waktu itu agak sukar mendapatkan sokongan yang menyakinkan.
Pergolakan politik dalaman Umno yang berlaku pada penghujung dekad 1980an telah mencetuskan gelombang perubahan politik tanahair, khususnya dengan kemunculan Parti Semangat 46 yang ditubuhkan oleh Tengku Razaleigh. Kesan daripada itu, telah berlaku ombakan politik di Negeri Sembilan khususnya di Parlimen Jelebu kerana Timbalan Presiden Semangat 46, iaitu Rais Yatim telah memperlihatkan goncangan politik kepada keberadaan Umno di Jelebu.
Terbukti Semangat 46 cukup menggoncang politik Umno di Jelebu khususnya di Pertang apabila calon BN hanya menang dengan majoriti tipis iaitu 109 undi! Calon BN mendapat 3,431 undi (50.81%) manakala calon Semangat 46 memperolehi 3,322 undi (49.19%).
Dalam PRU 1995, prestasi Semangat 46 dianggap merundum. Walaubagaimanapun, kedudukan Umno untuk memenangi dengan majoriti yang besar melebihi dua ribu undi masih tidak berjaya di Pertang. BN hanya mampu menokok majoriti kemenangan dengan 1,360 undi.
Ketika era ini dalam PRU 1999, kesan gerakan Reformasi tidak begitu mempengaruhi para pemilih Melayu di Pertang berbanding di Klawang yang menyaksikan BN hampir tewas dan menang dengan  majoriti tipis 69 undi. Kedudukan penyandang Dun Pertang, Razak Mansor kekal menang dengan memperolehi majoriti 2,727 undi yang menewaskan calon Pas.
Razak Mansor sekali lagi berjaya mempertahankan kemenangan kali ketiganya dalam PRU 2004 di Pertang walaupun berlaku penurunan majoriti. Beliau menang dengan majoriti 2,094 undi yang menewaskan calon Keadilan. Namun begitu, walaupun tewas keseluruhan di Pertang, Keadilan buat pertama kalinya telah berjaya memenangi daerah mengundi Pasoh 4 dengan kelebihan 159 undi. Pasoh 4 merupakan kawasan felda.
Kali ini, tsunami politik negara turut memberi kesan kepada para pemilih di Pertang. Walaupun calon BN, Razak Mansor berjaya mengekalkan kemenangan kali keempatnya kemerosotan sokongan dapat dilihat melalui perolehan majoriti kemenangan. BN menang dengan majoriti 1,995 undi.
Jika calon Keadilan ketika itu benar-benar membuat gerak kerja yang tersusun, kemungkinan besar Keadilan memperolehi kemenangan di Pertang.
Jika dikaji secara data berdasarkan perolehan undi yang diterima oleh pembangkang di Pertang sejak 1999, telah wujud undi tetap yakni pengundi tegar pembangkang sekitar 1800 orang dan kemungkinan angka itu akan bertambah selepas ini seandainya diukur dari segi sokongan mengikut kaum.
Mengikut pecahan semasa pemilih pertang mengikut kaum; peratusannya adalah seperti di bawah:

Melayu: 63%
Cina: 22.67%
India: 7.31%
Orang Asli: 6.9%
Andaian bahawa perolehan undi Keadilan pada PRU 2008 dikekalkan, sebanyak 800 undi lagi diperlukan oleh Keadilan untuk menang di Pertang. Sekiranya sokongan pemilih Melayu dapat dilonjakkan sehingga 43% disamping sokongan Cina 85% dan India 60%, potensi kemenangan bagi PR melalui calon Keadilan amat cerah.
Kekuatan Umno di Pertang adalah dipengaruhi oleh kekuatan Rais Yatim di parlimen Jelebu. Umumnya, warga politik mengetahui bahawa Razak Mansor adalah penyokong kuat kepada Rais berbanding Adun Klawang. Jika pucuk pimpinan Umno Pusat mengekal Razak Mansor sebagai calon pada PRU-13, laluan mudah buat Keadilan menjana kemenangan di Pertang.

Selain daripada itu, ahli Umno di Pertang meliputi sekitar 36% daripada jumlah pemilih di Pertang. Namun begitu secara atas kertas ia adalah kekuatan kepada Umno tetapi jika ada ahli-ahli tersebut protes, tidak keluar mengundi atau mengundi calon PR, faktor tersebut akan membunuh kemenangan Umno. Pergolakan politik dalaman Umno di Pertang sebenarnya berlaku walaupun berjaya disenyapkan oleh pihak bahagian. Apakah Razak Mansor berada dalam ciri-ciri 'winnable candidate' yang disebut-sebut oleh Najib Razak?

Kekuatan Keadilan secara jujurnya terletak kepada penyokong-penyokong tegarnya di Pertang. Namun begitu, perubahan landskap sokongan politik kaum Cina kepada PR dilihat sebagai pemangkin kekuatan kepada Keadilan di Pertang.
Dikhabarkan Keadilan Negeri Sembilan telah meneladani situasi PRU 2008 lalu dan bersedia menampilkan tokoh atau calon daripada anak tempatan berbanding sebelum ini. 
Andaian Kemenangan BN

BN: 60%
PR: 40%

Andaian Kemenangan Penulis

Tiada ulasan:

Catat Komen

ads