05 di rasah - Google Blog Search |
Posted: 20 Apr 2012 04:07 AM PDT Jumaat, 20 Apr 2012 19:07 Written by Ahmad Lutfi Othman29 Sabtu dan Ahad itu saya manfaatkan untuk memahami situasi terkini, dengan menemubual pemimpin tertinggi Pakatan negeri-negeri berkenaan, di samping membaca realiti siasah yang mungkin tergambar di mana-mana. Sememangnya impian rakyat untuk menggapai perubahan terjelma di merata tempat. Ia tidak dapat disembunyikan lagi. Pemimpin Umno serta para strategisnya (dibantu jentera perisikan polis, tentera dan yang diupah khas) tentu dapat mengesan gelombang kebangkitan ini dan bersiap dengan pelbagai tipu-helah. Sebenarnya, selepas Mac 2008, tiada lagi wilayah, termasuk di Sabah dan Sarawak, yang boleh dipandang mudah oleh BN dan juga Pakatan Rakyat. Rakyat semakin bijak dan cermat untuk menilai, menghakimi dan membuat pilihan. Mereka berminat mendengar hujah dan pandangan semua pihak, sebelum memutuskan parti mana yang terbaik untuk membentuk kerajaan. Meskipun bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin hanya membataskan Melaka, Johor dan Pahang sebagai negeri selesa untuk dipertahankan BN, namun banyak pihak menyifatkan kejutan boleh berlaku di mana sahaja. Empat tahun lalu, Negeri Sembilan merupakan benteng terakhir di selatan, yang dapat menahan terjahan tsunami politik yang membadai Pantai Barat, bermula dari Kedah, merentasi Pulau Pinang, menjalar ke Perak, Wilayah Persekutuan dan merobohkan kubu kebal BN di Selangor. BN Negeri Sembilan tidak lagi mempunyai majoriti dua pertiga dalam sidang Dun. DAP menjadi pemenang terbesar apabila menang 10 daripada 11 kerusi yang ditandinginya. PAS pula mendapat kerusi tunggal di Paroi, disandang Pesuruhjaya, Taufek Abd Ghani. Berbekalkan 15 kerusi Dun, termasuk empat dimenangi KeADILan, Pakatan perlu menang sekurang-kurangnya empat kerusi lagi, untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah. Bersama wartawan kanan, Wan Nordin Wan Yaacob, yang juga menetap di Negeri Sembilan dan pemberita negeri, Faiz Abdullah, kami berbicara panjang dengan Pengerusi DAP Negeri, Anthony Loke, yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri, di sebuah restoran mamak, dekat Seremban, petang 14 April itu. Adun Lobak sejak 2004 itu, dengan majoriti kemenangan terbesar 6,928 undi -- meraih hampir 80 peratus daripada keseluruhan undi yang dibuang -- ternyata dihormati penduduk sekitar. Ramai yang keluar masuk restoran menyapa dan bersalam dengannya. Di peringkat Parlimen, pada 2008, beliau mengalahkan calon MCA di Rasah, dengan kelebihan 13,151 undi. Beliau turut dilantik menjadi anggota PSC penambahbaikan proses pilihan raya. Saya tidak perlu lama mendengar pandangan politiknya sebelum berani merumuskan Loke memang berkeupayaan menggerakkan perubahan bersama rakan-rakan dalam Pakatan, sehingga mampu menumbangkan BN Negeri Sembilan dalam PRU13 nanti. Sudah tentu tumpuan perbincangan kami lebih merujuk kepada kedudukan kerusi yang masih belum dimenangi Pakatan, khususnya kawasan majoriti Melayu, yang kebanyakannya ditandingi PAS. Loke cukup prihatin dengan gambaran umum bahawa masyarakat Melayu, terutama di luar bandar, dilihat agak sukar untuk melakukan perubahan, sebaliknya masih mudah dipengaruhi propaganda dan dakyah perkauman Umno. Beliau memberi jaminan akan bekerja lebih keras bagi memastikan pengundi Cina akan menyokong calon PAS sepertimana mereka memihak calon DAP. Katanya, beberapa kerusi Dun yang ditandingi PAS, yang mempunyai jumlah pengundi Cina agak besar, akan menjadi sasaran kempen DAP. Semasa PRU12, ujarnya, masih ada masyarakat Tionghoa, yang ragu-ragu untuk mengundi PAS, tambahan pula ketika itu, tiada wujud kerjasama secara langsung di antara PAS dan DAP. Secara jelas beliau menyebut, kerusi Dun Klawang yang ditandingi PAS pada 2008, yang mempunyai pengundi Cina lebih 30 peratus, berpotensi besar untuk menang jika DAP turun padang berkempen. Ditanya kemungkinan DAP bakal menurunkan calon Melayu, tanpa ragu-ragu Loke menjelaskan, meskipun DAP parti berbilang kaum, ia akan mengkaji dengan rapi setiap strategi dan tindakan bagi mengukuhkan Pakatan. Dan beliau amat menyedari isu calon Melayu DAP itu merupakan modal politik Umno untuk menakutkan orang Melayu. "Kita tidak akan benarkan Umno menggunakan isu ini untuk takut-takutkan orang Melayu," tegasnya. Walaupun menyedari MCA akan mengeksploitasi soal itu, seperti yang dilakukan di Perak apabila DAP bersetuju dengan perlantikan Dato' Seri Nizar Jamaluddin daripada PAS walaupun parti Islam itu mempunyai jumlah Adun paling kecil, Loke berkata, pengundi Cina lebih praktikal persepsi politik mereka. "Rata-rata orang Cina tidak ada masalah untuk menerima menteri besar atau perdana menteri Melayu. Mareka lebih pentingkan dasar-dasar yang adil, telus dan kompeten. Dan mereka mahukan pemimpin yang cekap, tidak rasuah, adil dan melayan semua rakyat secara saksama," kata Loke lagi. Apatah lagi, tambahnya, dasar dan persefahaman dalam Pakatan memilih konsep mentadbir secara bersama, menghormati pembahagian kuasa dengan tiada satu parti pun boleh memutuskan semua perkara secara bersendirian. "Di Negeri Sembilan, Pakatan Rakyat di sini merupakan yang pertama melancarkan manifesto PRU13, di Gemas, pada 15 Januari lalu. Ini mungkin satu petunjuk yang baik," katanya sambil ketawa kecil. Loke nampak selesa berbual dan langsung tidak menunjukkan beliau mahu menamatkan wawancara hampir dua jam itu. Oleh kerana kami terikat dengan temujanji lain, saya agak berasa bersalah untuk meminta beliau merumuskan sesi sembang-sembang itu. Katanya, sebagai panglima dalam PRU13 nanti, beliau harus berada dalam posisi menyerang meskipun terpaksa berdepan risiko yang tinggi. Justeru, Loke akan berpindah daripada kawasan selamat di Lobak, ke Chennah, dalam Parlimen Jelebu yang diwakili Dr Rais Yatim, satu-satunya kerusi Dun ditandingi DAP yang kalah kepada calon BN empat tahun lalu, dengan perbedaan 1,298 undi. Sekali lagi, tanpa sedar, penghormatan saya kepadanya meningkat. Loke sempat bertanyakan perkembangan penyanyi Aishah, yang baru menyertai PAS. "Saya pun minat Aishah, lagu-lagu dia pun saya suka," katanya, sambil jarinya pantas berlari di atas skrin ipad Samsung. Dalam keriuhan restoran itu, terdengar lagu Janji Manismu ... "Saya minat lagu-lagu Melayu sejak sekolah lagi. Selain Aishah, saya minat Zainal Abidin dan Amy Search," tambahnya. "Ada orang beritahu saya, PAS mungkin sesuai calonkan Aishah dalam pilihan raya nanti, lagipun, saya difahamkan dia orang Negeri Sembilan," ujarnya, tersenyum. Wawancara penuh dengan Loke akan disiarkan dalam Harakah keluaran depan, dalam fokus politik Negeri Sembilan, selain temubual dengan Taufek, yang banyak membicarakan kompleksiti trend pengundian masyarakat Melayu pula. |
You are subscribed to email updates from di rasah - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan