Setelah menyampaikan kursus umrah di pejabat KRS Lavender Height semalam, saya di datangi seorang wanita pertengahan 30 an bertanya soalan berikut :
"Maaf ustaz … saya nak tanya soalan, katakanlah seorang wanita berniat umrah di miqat dengan bersyarat, jika aku terhalang oleh sesuatu halangan syarak (haidh), maka bertahallulah aku ketika itu kerana Allah Taala. Tiba-tiba masa saei pada pusingan ketiga dia datang haidh, adakah dia kena berhenti serta merta dan bertahallul, sedangkan saei tidak disyaratkan mesti suci daripada haidh ? "
"Kenapa Puan tak tanya saya semasa kursus tadi?", respon saya.
Ketika itu saya sudah bersiap mahu pulang. Manakala En. Azmi 'orang kuat KRS' sedang menunggu saya ditangga bangunan bersama sampul 'Angpow' di tangannya.
Saya melihat jam di hanphone, sudah pukul 12.20 tengahari. Saya berjanji dengan isteri dan anak-anak untuk membawa mereka makan tengahari di majlis kenduri perkahwinan di Rasah Jaya.
Tentu mereka sedang lapar dan tertunggu-tunggu kepulangan saya di rumah.
"Ala.. tadi memang nak tanya, tapi rasa malu pulak depan orang ramai", katanya.
Ya, memang saya akui wanita ada perasaan malu-malu untuk bertanya apatah lagi hal-hal kewanitaan seperti itu.
Tetapi ada juga wanita yang tidak tahu malu bertanya soalan sensitif ketika saya sedang menikmati makan tengahari dengan kawan-kawan di sekolah.
"Ustaz kalau kita 'bersama' dengan suami tapi tidak keluar air mani perlukah kita mandi wajib? he….he…he", soal wanita ini sambil ketawa.
Hampir-hampir tersembur makanan yang ada di mulut saya ketika itu.
"Ceh ! umur pun dah separuh abad, anak-anak dah besar panjang, bakal bergelar nenek .., masih tak tahu hal-hal yang asas seperti itu", saya menahan kemarahan apabila fokus makan tengahari terganggu.
Baiklah, kembali kepada soalan wanita tadi tentang masalah haidh dalam keadaan sudah berniat umrah bersyarat.
Sambil berjalan saya menjawab ringkas,
"Ok, walaupun saei tidak disyaratkan mesti suci daripada haidh, tetapi perempuan itu wajib berhenti mengerjakan saeinya di pusingan ketiga (di mana dia di datangi haidh), kerana sebelumnya dia sudah berniat umrah dengan bersyarat. Dia juga wajib mengqadak semula umrahnya di masa akan datang".
"Terima kasih ustaz", kata wanita ini seakan-akan tahu yang saya sedang mengejar masa.
"Sama-sama", jawab saya.
Full content generated by Get Full RSS.