Sabtu, 24 Mei 2014

05 di paroi - Google Blog Search

05 di paroi - Google Blog Search


KEMENANGAN BERHARGA <b>DI PAROI</b> – Portal Rasmi Persatuan <b>...</b>

Posted: 18 May 2014 08:04 AM PDT

Oleh WILLIE JUDE JUNAIDI
willie@sabahfa.com

SABAH sekali membuktikan betapa mereka masih sebuah pasukan yang digeruni dalam saingan Liga Perdana apabila mengejutkan Negeri Sembilan 1-0, di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, malam Jumaat lalu.

Walaupun hanya beraksi dengan sembilan pemain pada kira-kira 15 minit terakhir perlawanan, pasukan tuan rumah ternyata gagal menembusi gawang pasukan pelawat selepas penyerang yang semakin menjadi bualan hangat, Marwan Saydeh, menjaringkan gol tunggal di minit ke-65.

Bagaimanapun, perlawanan itu dicemari dengan layangan tiga kad merah iaitu satu diberikan kepada pemain Negeri Sembilan, Abdul Halim Zainal di minit ke-58 serta dua kepada pemain Sabah iaitu Md Redzuan Nawi di minit ke-56 dan Andre Reinaldo Esposito di minit ke-80.

Di separuh masa pertama, permainan kedua pasukan dilihat seimbang namun serangan yang dilakukan Sabah lebih berbahaya berbanding pasukan tuan rumah dengan beberapa peluang menarik.

Pada minit ke-23, Sabah lebih dulu mencemaskan pintu gol Negeri Sembilan hasil sepakan percuma oleh Leopold Alfonso Otong.  Bagaimanapun, sepakannya yang gagal ditangkap kemas penjaga gol tuan rumah gagal disudahi rakan sepasukannya sebelum pertahanan Negeri Sembilan mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Seminit kemudian, giliran tuan rumah pula mengasak kubu Sabah namun cubaan pemainnya daripada luar kotak penalti berjaya diselamatkan dengan baik oleh penjaga gol, Md Fazli Paat.

Sabah kemudian hampir mendahului di minit ke-29 menerusi tandukan Alto Linus, hasil hantaran sepakan percuma Andre dari luar kotak penalti.  Bagaimanapun, tandukan Alto terkena palang lalu melantun keluar dan tandukan susulan yang dilakukan Marwan juga sedikit tinggi di atas palang gol.

Pada saat-saat akhir separuh masa pertama, Stadium Tunku Abdul Rahman, bergema seketika apabila pemain tuan rumah berjaya menewaskan Fazli dalam keadaan satu lawan satu, bagaimanapun, bola yang seakan-akan masuk ke dalam gawang Sabah akhirnya sipi di sebelah kanan tiang gol.

Bermula babak kedua, pasukan tuan rumah mula garang apabila melancarkan serangan demi serangan ke kubu Sabah, namun kekentalan pertahanan yang dikemudi Ketua Pasukan, Reithudin Emran berjaya menidakkan setiap peluang yang dimiliki mereka.

Sabah kemudian terpaksa bermain dengan 10 orang pada minit ke-56 apabila pemain pertahanan, Redzuan dilayangkan kad kuning kedua kerana mengasari pemain lawan.

Bagaimanapun dua minit selepas itu, tuan rumah turut 'mengikut jejak' Sabah dengan bermain 10 orang apabila pemain mereka yang baharu dimasukkan di separuh masa kedua, Abdul Halim, dilayangkan kad kuning kedua selepas hanya beraksi selama 13 minit.

Minit ke-65, Marwan akhirnya menggembirakan seramai kira-kira 30 penyokong pasukan pelawat apabila berjaya menjaringkan satu gol menarik menerusi sepakan 'volley' cantik dari luar kotak penalti.

Negeri Sembilan yang tersentak dengan gol itu kemudian melakukan serangan bertali arus ke kubu pelawat namun gagal menghasilkan gol manakala Sabah juga sekali-sekala melancarkan serangan kilat.

Pada minit ke-80, Sabah sekali lagi kekurangan seorang pemain apabila Andre dilayangkan kad kuning kedua seterusnya kad merah selepas mengasari pemain lawan.

Peluang itu kemudian diambil oleh Negeri Sembilan untuk melancarkan serangan demi serangan namun sehingga akhir permainan, termasuk tambahan masa lima minit, jaringan tunggal Marwan gagal dipadamkan tuan rumah.

Ketua Jurulatih, Milomir Seslija ketika ditemui selepas perlawanan itu berkata pasukannya berhak menang kerana semangat juang tinggi yang ditunjukkan mereka.

"Seperti saya kata sebelum ini, jika kita teruskan semangat juang serta disiplin yang tinggi, kita akan menang dan akhirnya kita berjaya pada perlawanan ini dengan satu jaringan yang cantik.

"Kita juga sepatutnya mendapat lebih banyak gol pada separuh masa pertama tetapi kita kurang bernasib baik, bagaimanapun, kita akhirnya menang perlawanan ini walaupun terpaksa bertahan habis-habisan di penghujung permainan kerana kekurangan pemain di atas padang," katanya.

Dalam pada itu, Milomir sedikit kecewa dengan layangan dua kad merah yang diberikan kepada Redzuan dan Andre kerana menyifatkan ia satu kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan.

"Kita tidak bernasib baik kerana mendapat dua kad merah, saya juga kecewa kerana pengadil memberikan mereka (Redzuan dan Andre) kad kuning yang pertama, yang mana saya rasa tidak patut diberikan, namun saya tidak mahu mengulas panjang mengenai perlawanan itu kerana kita akhirnya menang, kini fokus kita ialah perlawanan seterusnya," katanya.

Sementara itu, Pengurus Pasukan, Rahman Zakaria, berkata Sabah menunjukkan satu permainan yang baik walaupun dalam keadaan tertekan kerana dilayangkan dua kad merah, selain tiga lagi kad kuning.

"Pemain dapat mengimbangi corak permainan pihak lawan walaupun kekurangan seorang pemain pada akhir perlawanan dan kita akhirnya menang dengan semangat juang tinggi.

"Saya percaya para pemain telah belajar daripada perlawanan sebelum ini kerana hanya dengan semangat juang yang tinggi saja kita mampu mengatasi pasukan lawan, saya harap ia akan dikekalkan pada semua baki perlawanan untuk kita mengintai peluang ke Piala Malaysia," katanya.

Mengulas berhubung dua kad merah yang dilayangkan kepada Redzuan dan Andre, beliau yakin pemain berkenaan terlalu hendakkan kemenangan sehingga melakukan kesilapan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads