05 di linggi - Google Blog Search |
Bicara Minda: TANGAN <b>DI</b> ATAS ADALAH LEBIH BAIK DARIPADA <b>...</b> Posted: 16 Nov 2013 02:03 PM PST (Disiarkan pada 16. 11. 2013) Ilmu akhlak adalah membahaskan tentang pengertian baik buruk, serta menerangkan apa yang patut manusia lakukan dalam hubungan sesama mereka. Ia juga menerangkan tujuan yang perlu dicapai oleh mereka dalam tingkahlaku mereka di samping menunjuk jalan tentang apa yang perlu untuk sesuatu pekerjaan. Akhlak ialah asas utama untuk memelihara hakikat kewujudan bangsa-bangsa. Dengan sebab itu ahli-ahli penyelidik dan ahli-ahli falsafah bersetuju bahawa akhlak itu wajib ada pada seseorang demi untuk kebajikan dirinya sendiri dan masyarakat seluruhnya. Kalaulah individu dapat dirosakan oleh perbuatannya yang dusta, dengki, jahat dan tipu maka demikian juga masyarakat menjadi rosak dengan merebaknya salah satu dari sifat-sifat itu dalam masyarakat. Dengan sebab itulah ahli-ahli falsafah dan ahli-ahli perundangan, dalam memajukan masyarakat manusia, pertama sekali menyeru kepada akhlak yang mulia sebab akhlak mulia itu menjadi tiang pertama dalam pembinaan masyarakat yang sejahtera serta berwawasan dalam segala segi pembangunan. Tangan di atas adalah lebih baik daripada tangan di bawah membawa maksud tangan di atas ditamsilkan sebagai orang-orang yang mempunyai akhlak yang luhur, suka menolong orang dalam mengatasi segala kesulitan dalam menangani hidup. Orang demikian kadang-kadang disifatkan sebagai ringan tangannya hendak menolong orang lain yang memerlukan bantuan. Agama menyifatkan orang yang ringan tangan menghulurkan bantuan kepada orang lain akan dimudahkan hidupnya oleh Allah s.w.t.. Orang yang suka membantu menolong kesulitan orang lain secara istiqamah hidupnya sentiasa dilindungi Allah dari segala kesulitan serta luas rezekinya. Tidak ada yang dibanggakan dalam hidup ini jika kita tidak mambantu orang lain untuk mengatasi kesulitan yang dialaminya. Bantuan yang kita hulurkan akan mengeratkan hubungan siraturahim antara sesama manusia. Bantuan itu wajar menjadi budaya kepada sesiapa pun kerana dengan jalan demikian lah maka lahir suasana ukhuwah kemanusiaan yang wajar hidup di kalangan masyarakat yang bersepadu. Ukhuwah kemanusiaan akan melahirkan rasa kekitaan yang tidak memilih bangsa, warna kulit, kedudukan mahupun keturunan dalam pembangunan akhlak manusia. Dalam hidup ini setiap individu diwajibkan memperbaiki tingkahlakunya terhadap orang lain mahupun terhadap amal ibadahnya. Amalan ini biasa dikenali sebagai berhijrah dari yang biasa kepada yang lebih baik. Perubahan dalam menangani kehidupan merupakan sifat melahirkan pembangunan. Kita membangun wajar dalam hidup mengikut arus perkembangan faktor masa. Masa lalu, masa kini dan masa akan datang sewajarnya ada perubahan dalam segala segi terutama sekali dari segi akhlak setiap individu. Kita berhijrah dari yang biasa kepada yang lebih baik seharusnya mengikut faktor masa kerana ia menentukan peringkat usia setiap individu. Kita berhijrah dari alam kanak-kanak kepada alam remaja wajar melalui menuntut ilmu kerana ilmu adalah faktor memanusia kan manusia. Dari remaja berpindah kepada alam dewasa seharusnya dalam peringkat pengukuhan amal ibadah atau menterjemahkan segala ilmu yang diperolehi kepada pembaharuan diri. Dengan amalan melalui penguasaan ilmu yang telah diperolehi dari gedung-gedung ilmu seseorang itu telah berhijrah daripada hidup yang biasa dianuti kepada hidup yang lebih bertamadun. Tingkahlaku seseorang itu juga wajar berubah kepada yang lebih baik yang diterima pakai oleh masyarakat atau yang diredhai Allah s.w.t.. Kehidupan ini wajar dimurnikan dengan suasana ukhuwah kemanusiaan, kerana segala kejayaan kita samada pencapaian dalam berbagai bidang mahupun kejayaan memperolehi sesuatu yang membolehkan kita lebih menyerlah berbanding orang lain adalah disebabkan ada orang lain bersama kita yang kurang penampilan dalam hidupnya. Kalau hidup ini tidak diserikan dengan kehadiran orang lain, pencapaian serta kejayaan kita tidak dapat dinilaikan kerana tidak ada pengukurnya terhadap pencapaian tersebut. Maka itu kehadirian orang lain adalah penting dalam pembangunan manusia seutuhnya. Manusia diwujudkan Allah untuk membiak menambahkan bilangan penduduk maka itu wajar ada suasana tolong menolong antara satu sama lain maka lahirlah masyarakat manusia. Pepatah Melayu mengatakan bahawa tangan yang di atas adalah lebih mulia berbanding tangan yang di bawah membawa maksud orang yang memberi pertolong adalah lebih baik berbanding dengan orang yang menerima pertolongan. Orang yang menolong mempunyai sifat ukhuwah kemanusiaan. Ia merasakan suasana pembangunan hidup harus diserikan dengan budaya tolong menolong. Orang yang bersifat pemurah hatinya akan sentiasa menghulurkan pertolongan, tidak kira kedudukannya adalah lebih baik berbanding dengan orang yang ditolong. Sewajarnyalah orang yang berkemampuan seperti orang yang kaya wajib menghulurkan pertolongan kepada mereka yang memerlukan bantuan. Dengan suasana demikian akan mengeratkan hubungan kasih sayang antara sesama. Walaubagaimana pun orang yang berhati mulia tidak semua dari golongan masyarakat yang berada. Penampilan seseorang untuk memberi pertolongan disifatkan sebagai melaksana kan amal ibadah kerana Allah. Para Nabi dan Rasulullah s.a.w. adalah orang yang kehidupan nya seperti pepatah Melayu: "Kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang." Tetapi soal membantu orang lain merekalah yang ringan tangannya menghulurkan bantuan. Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi-Nya, dan kekasih-Nya dengan memuji kepadanya dan memperlihatkan nikmat-Nya di hadapannya: "Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbuat pekerti yang agung." (Al-Qalam: 4) Aisyah ra. berkata, "Budi pekerti Rasulullah s.a.w. adalah Al-Quran." Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w. mengenai kebaikan budi pekerti. Lalu baginda membaca firman Allah s.w.t. yang bermaksud (terjemahan): "Jadilah kamu pemaaf dan serulah orang mengerjakan yang ma'ruf serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh." (Al-A'raf: 199) Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Yang paling berat di antara apa yang diletakkan di timbangan amal pada hari kiamat adalah takwa kepada Allah dan kebaikan budi pekerti." Nabi Muhammad saw. Pernah ditanya, "Manakah amal yang lebih utama?" Baginda menjawab, "Budi pekerti yang baik." Perbuatan-perbuatan yang baik menghindarkan dari jatuhnya seseorang pada perbuatan yang buruk. Sedekah secara rahsia dapat memadamkan kemurkaan Tuhan dan menyambung hubungan kerabat akan memperpanjang umur dan setiap perbuatan yang baik merupakan sedekah. Pelaku kebaikan di dunia adalah pemilik kebaikan di akhirat dan pelaku perbuatan mungkar di dunia mereka adalah pemilik mungkar di akhirat. Di dalam satu riwayat lain milik Ath-Thabrani dan milik Ahmad dikatakan, "Bagaimana dengan sedekah itu ya Rasulullah?" Baginda bersabda, "Beberapa pahala yang dilipatgandakan dan disisi Allah masih terdapat tambahan lagi." Kemudian baginda membaca firman Allah yang bermaksud (terjemahan): "Sesiapa yang mahu memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkah hartanya di jalan Allah), maka Allah akan melipatgandakan pembanyaran kepadanya dengan kelipatan yang banyak." (Al-Baqarah: 245) Allah s.w.t. berfirman dalam al-Quran surah Al-Maidah ayat 3 yang bermaksud (terjemahan): "Dan bertolong-tolonglah kamu di dalam kebaikan dan takwa." Rasulullah s.a.w. bersabda,"Sesiapa yang memenuhi suatu keperluan bagi saudaranya yang muslim, maka aku akan berdiri di samping timbangan amalnya. Jika amal kebaikan menang, maka sudahlah begitu dan jika tidak aku akan memberi syafaat kepadanya." Hadis ini diriwayatkan Abu Nu'aim di dalam Al-Hilyah. Amalan bersedekah merupakan ibadah yang paling mulia terutama sekali apabila orang yang memberi sedekah tidak diketahui. Bersedekah adalah menghulurkan atau memberi bantuan terutama sekali kepada fakir miskin, anak yatim piatu dan orang-orang musafir. Berlaku satu kejadian yang dialami oleh penulis semasa beliau dalam perjalanan jauh ke bandar Kota Kinabalu dari Pedalaman atas, Keningau. Waktu itu mata hari memancar cahayanya tanpa dilindungi awan di langit begitu terik panasnya, tepat jam dua tengah hari. Seorang lelaki sedang duduk di tepi jalan menjaga barang hasilan dari kebunnya seperti ubi keledik begitu banyak. Tergiur dalam hati hendak membeli ubi keledik lalu berhenti sejenak. Mengambil sekilo dengan harga RM 3.00. Melihat muka orang tua berkenaan dengan hitam merah kepanasan. Sebelum masuk ke kereta hendak meneruskan perjalanan, terlintas dalam hati memikirkan mungkin orang tua itu hendakkan seteguk air. Lalu beliau memberinya sebotol air minum. Dengan air muka yang amat gembira ia mengambil se botol air itu dengan kedua belah tangannya sambil berkata "Syukur Alhamdulillah." Rupanya dia berada di tepi jalan itu sejak jam 9 pagi tanpa apa-apa bekalan. Kereta yang mengangkat hasilan kebunnya rosak dan terpaksa diturunkannya di situ menungguh kereta itu dibaiki. Dengan rasa kesyukurannya mendapat sebotol air minum, dia hadiahkan dua kilo ubi keladik lagi tanpa harga! Orang tua berkenaan mendapat air minum dengan ihsan penulis yang menyelamatkanya dari seksa kering tekak, kerana dahaga dan kehausan. Kedudukan ihsan dalam Islam, al-Quran menerangkan bahawa ihsan wajib menjadi tabiat seseorang. Allah telah memberi nikmat kepada manusia dengan ihsan-Nya maka manusia juga perlu berbuat ihsan dengan nikmat itu kepada makhluk. Firman Allah dalam surah Al-Qasas ayat 77 yang bermaksud (terjemahan): "Dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepada mu" Al-Quran juga menyatakan bahawa manfaat ihsan akan kembali kepada tuannya sendiri. Firman Allah dalam surah Al-Isra' ayat 7 yang bermaksdu (tejemahan); "Jika kamu berbuat baik (bererti) kamu berbuat bagi dirimu sendiri dan jika kamu berbuat jahat, maka (kejahatan itu) bagi dirimu sendiri." Orang-orang yang melakukan ihsan akan mendapat ketenangan yang tidak diperolehi oleh orang-orang lain. Orang yang menerima ihsan akan merasa senang, merasa kasih serta sayang kepada pelaku ihsan. Hal ini semua memberi kebahagiaan jiwa. Sebaliknya, melakukan keburukan (al isa'ah) akan menjadikan seorang itu hina dan tidak memperolehi ketenangan hidup. Oleh sebab itulah, Allah memberi galakan kepada manusia supaya melakukan ihsan dengan firman-Nya dalam surah An-Nahl ayat 90 yang bermaksud (terjemahan): "Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan bernuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat (apa yang mereka perlukan) dan melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan." Al-Quran juga mengangkat martabat ihsan. Adanya ihsan yang disertakan dengan ikhlas dikira sebagai sifat yang paling tinggi yang patut ada pada seseorang yang beragama. Firman Allah dalam surah An-Nisa' ayat 125 yang bermaksud (terjemahan) "Tidak ada orang yang paling baik agamanya selain daripada orang yang hatinya ikhlas kepada Allah serta menyerahkan jiwa mereka kepada-Nya sahaja." Orang seperti itu ialah orang muksin yakni yang mengerjakan ihsan dan meninggalkan perbuatan keji. Firman Allah dalam surah Luqman ayat 22 yang bermaksud (terjemahan): "Dan barang siapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang buhul tali yang kukuh". Sesungguhnya orang-orang yang demikian sifatnya, sebenarnya telah berpegang dengan tali yang sangat kukuh. Bermakna mereka itu akan mendapat keredaan Allah dan dikasihi-Nya. Mereka itu akan mendapat pembalasan di atas kebaikan amal dengan sebaik-baik pebalasan. |
You are subscribed to email updates from di linggi - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan