Khamis, 25 April 2013

05 di juasseh - Google Blog Search

05 di juasseh - Google Blog Search


TAMPANG: JAMILAH UJANG: ANAK <b>JUASSEH</b> SEKOLAHNYA <b>DI</b> <b>...</b>

Posted: 05 Feb 2013 12:17 PM PST



Bapa saya, Sarjan  Mejar Ujang bin Amin anak orang Kampong Juasseh, Kuala Pilah. Emak saya Halimah bt Anjang berasal dari Kelantan. Mereka berjumpa di Kuala Terengganu semasa bapa saya mula berkhidmat sebagai polis biasa dan emak saya pula tinggal di rumah abangnya, seorang Sarjan Polis. Mereka dirunding-rundingkan dan bernikah pada tahun 1940. Mereka tidak mendapat sebarang anak sehinggalah tahun 1946 apabila saya dilahirkan, semasa bapa saya masih berkhidmat di Terengganu. Saya adalah anak tunggal. Emak saya meninggal di Hospital Besar Melaka pada tahun 1989 semasa berumur 67 tahun. Ketika itu saya telah berkahwin dan  suami saya menjadi Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Melaka.  Bapa saya pula meninggal pada tahun 2007 setelah mencapai usia 87 tahun. 
Saya membesar di berek polis di Terengganu sehingga berumur lapan tahun. Sepanjang saya ingat bapa saya adalah seorang Ketua Balai Polis (OCS) berpangkat Sarjan dan hidup kami selalu sahaja berpindah-randah di tempat yang tidak ada sekolah. Dalam tahun 1953 semasa bapa saya menjadi OCS Balai Polis Air Puteh dalam Daerah Kemaman, Terengganu, dan rumah kami pula bersebelahan dengan Balai Polis, masih segar dalam ingatan saya akan suatu peristiwa yang sangat menyayat hati yang saya tidak akan lupa di sepanjang hayat saya.Tiap kali saya teringatkan peristiwa itu, atau apabila saya bercerita mengenainya, saya akan berasa sebak dan selalunya menitiskan air mata.


 Pada suatu awal pagi semasa kami tiga beranak sedang menikmati sarapan di rumah, tiba-tiba muncul seorang lelaki Melayu dan membisikkan sesuatu kepada bapa saya.Kalau tak silap saya bapa saya dengan cemas menanyakan kenapa lambat sangat?!! Sekarang ini tahulah saya bahwa orang itu adalah seorang "informer". Saya lihat bapa saya dalam keadaan cemas itu terus bergegas mengenakan pakaian unifomnya. Sambil itu dia menyuruh emak dan saya cepat-cepat bersiap untuk masuk ke dalam kubu bawah tanah di bawah rumah kami.Dari dalam rumah saja kami boleh buka pintu di lantai dan terus terjun ke dalam kubu di bawah.Semua bangunan polis dalam perkarangan balai itu masing-masing ada mempunyai kubu dalam tanah di bawahnya. Sambil bapa saya keluar dari rumah, kami dua beranak pun masuk ke dalam kubu. Dari dalam kubu itu saya boleh melihat apa-apa yang berlaku di luar sebab rumah kami itu jenis yang bertiang rendah dan masih ada ruang untuk menjengah keluar.Pada masa itu keadaan sudah mula menjadi kelam kabut kerana bapa saya telah menjeritkan arahan kepada para anggota polis dan Homeguard yang berada di kawasan balai memberi isyarat bahwa balai polis itu akan diserang.
Kalau tak silap saya loceng gila,( iaitu loceng tembaga besar yang digoncang secara manual untuk dibunyikan) juga sempat dibunyikan. Tetapi malangnya pada anggaran saya, belum pun pihak polis sempat bersedia sepenuhnya, mereka telah diserang dengan senjata api oleh kumpulan pengganas komunis dari atas bukit kebun getah kira-kira 200 ke 300 meter di hadapan balai polis itu.Tembak- menembak yang dahsyat bunyinya berlaku antara kedua belah pihak. Dari dalam kubu itu saya dapat melihat beberapa orang anggota polis yang cedera kena tembakan dan diheret ke tepi oleh rakan-rakan lain dengan darah berlumuran. Episod berbalas tembak itu berlarutan untuk beberapa lama sehingga bantuan sampai dari Kemaman lebih kurang 10-15 batu jauhnya dari Air Puteh.Mereka turut terlibat dalam tembak-menembak itu.
Apabila keadaan telah reda dan pihak pengganas berundur dari bukit itu, saya berasa amat bersyukur ke hadrat Illahi kerana bapa saya terselamat dan balik ke rumah meninjau keaadan kami.Tetapi saya menangis teresak-esak apabila bapa saya memberitahu bahwa Pakcik Homeguard yang selalu memanja-manjakan  saya dulu telah terkoban bersama anak lelakinya yang juga seorang anggota Homeguard. Bapa saya memberitahu bahwa apabila anaknya kena tembakan, Pakcik Homeguard itu telah pergi menghampirinya untuk memberi bantuan. Pada ketika itulah Pakcik Homeguard turut terkena tembakan dan kedua-dua beranak itu menemui ajal mereka di situ juga.
 Saya dapat tahu selanjutnya, bahwa pasukan bantuan yang datang dari Daerah Dungun dan Kuantan telah diserang hendap oleh kumpulan pengganas komunis dan dibom semasa dalam perjalanan ke Air Puteh. Perjalanan mereka telah tergendala dan ada yang turut cedera, walaupun mereka sampai juga ke Air Puteh setelah keadaan reda. Saya tidak ingat berapa orang anggota polis dan Homeguard yang terkorban atau cedera dalam kejadian itu.Apa yang pasti, mereka telah berkhidmat dan terkorban untuk mempertahankan negara. Di pihak pengganas komunis itu tidak ada sebarang kematian kerana mereka berada di atas bukit dan dilindungi oleh pokok-pokok getah. Saya tidak pasti sama ada episod ini terakam atau tidak di dalam sejarah Negara. Yang terkorban itu, malahan semua mereka yang terlibat dalam pertempuran itu tetap terabadi sebagai "the unsung heroes". Kita sama-sama hadiahkan Al-Fatihah kepada semua mereka itu yang kini telah pergi kembali menemui Penciptanya.
Pada tahun 1954 semasa saya berumur lapan tahun bapa saya ditukarkan ke Ladang Geddes di Negeri Sembilan sebgai OCS Balai Polis Ladang Geddes. Di situ juga tidak ada Sekolah Melayu, melainkan sebuah Sekolah Inggeris untuk anak-anak penduduk ladang dan penduduk sekitarnya. Bapa saya tiada pilihan dan masukkan saya ke sekolah Inggeris itu. Antara para penuntut di situ ada murid-murid Melayu, China, India dan juga Inggeris. Di situlah saya mula menjejakkan kaki ke alam persekolahan.
Di situ juga dikatakan tempat komunis bersarang.Setelah melalui pengalaman pahit di Air Puteh, Terengganu sebelum itu, bapa saya memikirkan strategi bagi mengekalkan keamanan di kawasannya untuk mengelakkan daripada tragedi di Air Puteh itu berulang kembali. Strategi bapa saya ialah mendakati kaum China di kedai-kedai di Ladang Geddes itu, bukan sahaja untuk menjalin perhubungan dan rapport dengan penduduk setempat, tetapi juga untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak polis.Saya kira usaha bapa saya itu sungguh mendalam sehinggakan beliau menjadi sangat fasih berbahasa China. Strategi ini nampak sangat berkesan kerana sepanjang kami berada di Ladang Geddes itu tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
Kami di Ladang Geddes  lebih kurang setahun sahaja. Pada tahun berikutnya (1955) kami ditukarkan pula ke Rompin, Negeri Sembilan di mana bapa saya menjadi OCS Rompin. Di Rompin juga tidak ada sekolah Melayu. Yang ada cuma Sekolah Cina. Sekali lagi kami tiada pilihan dan saya dimasukkan ke Sekolah Cina. Bila ada peperiksaan saya dapat nombor satu.
Pada hujung tahun 1955 nenek saya datang dari Kampong Juasseh ke Rompin. Saya ingat kata-katanya, berbunyi lebih kurang…. "…Jang, apo nak jadi e kek anak kau ni, dah sekolah Cino pulak. Dah lah anak soghang…Taun dopan kau masukan lah dio sekolah Joseh. Bia dio diam somo omak…"Pada awal tahun 1956 saya masuk Darjah Satu di Sekolah Melayu Juasseh setelah berumur hampir 10 tahun. Oleh kerana saya sudah berumur, apabila ada ujian sekolah saya dapat nombor satu juga. Dalam pada itu bapa dan emak saya tiap-tiap minggu berulang alik dari Rompin ke Juasseh menziarahi saya. Kami berasa amat tidak selesa dalam keadaan sebegini sehingga bapa saya memohon bertukar ke tempat yang ada sekolah Melayu.
Kira-kira bulan Mac tahun 1956 bapa saya bertukar menjadi OCS Air Kuning, Negeri Sembilan  dan dapatlah saya masuk ke Sekolah Umum Air Kuning South masih dalam Darjah Satu.Guru Besar pada masa itu adalah orang Rembau, iaitu Allahyarham Cikgu Ambia, bapa kepada Allahyarham Dato' Ismail Ambia. Apabila saya mendapat keputusan cemerlang di hujung tahun itu saya terus dinaikkan ke Darjah Tiga pada Tahun 1957. Diebabkan saya sudah berumur dan telah melalui banyak pengalaman saya masih dapat nombor satu semasa Darjah Tiga itu, dan sekali lagi saya dilompatkan naik ke Darjah Lima pada tahun berikutnya (1958). Dalam Tahun 1959 semasa dalam Darjah Enam saya menduduki peperiksaan di Sekolah Umum Gemenchih untuk kelayakan masuk ke Form I (Remove) dan saya seorang sahaja yang lulus daripada Sekolah Umum Air Kuning South dalam peperiksaan itu.
Pada tahun 1960 bapa saya ditukarkan ke Gemas, tetapi tidak ada pulak kelas Form I (Remove), maka sayapun terpaksa bersekolah di Tuanku Besar School, Tampin dalam Form I (Remove).Form Teacher saya pada masa itu ialah Mr. Sen. Saya terpaksa berulang alik naik bas dari Gemas ke Tampin selama dua tahun. Pada tahun 1962 bapa saya ditukarkan menjadi OCS Rembau dan saya terus berulang alik pula dari Rembau ke TBS Tampin dengan menaiki bas. Saya bersekolah di TBS sehingga penghujung Tahun 1964 sewaktu dalam Tingkatan Empat. 
TBS Prefects'Board 1962: Kelihatan Head Prefect, S. Parameswaran nombor empat dari kanan di barisan hadapan.Sementara Khalid Rahman nombor limaa dari kiri barisan belakang.
Yang saya masih ingat naik bas bersama dengan saya adalah kawan-kawan seperti Norbaya, Che Om, Napsiah, Faizal Mahmood, Abdul Rahman, Samihah dan yang lain-lain yang saya sudah lupa. Kawan-kawan dalam kelas yang saya tak akan lupa ialah Marzuki Harun yang terkenal dengan kenakalannya. Saya masih ingat juga Rahmah Ali, Sharifah, Azizah Kassim, Allahyarham Ashishah,Nabjeah, Ahmad, Kamariah, Fatimah. Yang lain-lain saya tak ingat nama mereka. Head Boys yang saya ingat ialah Khalid Rahman dan mendiang S. Parameswaran (Param).
 Dara pujaan TIBIES 1964? Baris depan duduk: Dari kiri Azizah Kassim, Jamilah Ujang dan Norbaya Shafie. Jamilah Ujang mungkin boleh kenalkan dara-dara yang berdiri di belakang. 
Khalid Rahman, Head Boy 1963 (kiri) dikunjungi Allahyarham Mohd. Zain Mohd Yassin dan Zahriman Alias di kediaman Khalid di Setiawangsa Hari Raya  yang lalu.
Pada penghujung tahun 1964 bapa saya dinaikkan ke pangkat Sarjan Mejar dan telah ditukarkan ke Daerah Polis Kemaman, Trengganu. Maka baliklah saya bersekolah di Terengganu, iaitu Sekolah Menengah Sultan Ismail Kemaman, Terengganu Tetapi Guru Besar sekolah itu masih orang Negeri Sembilan jugak, iaitu Puan Zaleha Mohd Said dan beliau adalah anak kepada mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, iaitu Allahyarham Dr. Mohd Said.
Saya mengenali rapat bakal suami saya semasa saya masih di TBS Tampin dalam Tingkatan Empat.  Komunikasi kami hanyalah melalui surat menyurat dan sekali sekala menerusi telefon. Itu pun saya terpaksa pergi ke Balai Polis Rembau yang berdekatan untuk menuggu panggilan setelah dijanjikan awal-awal lagi. Bakal suami saya pada masa itu adalah seorang Inspektor Percubaan Polis dan beliau menjadi Inspektor Kawasan Parit di Perak di bawah Daerah Polis Batu Gajah. 
Suami JU, Dato' Nordin (kiri) disambut Presiden Alumni TBSST, Zahriman Alias dan Setiausaha Car Lim Aboo di majlis pot luck Kubu Gajh, 3 Fbruari 13 lalu.
Kami berkahwin di Kampong Juasseh pada 12 April 1966 semasa suami saya berkhidmat di Daerah Polis Ipoh. Pada tahun 1967 suami saya diarah berkhidmat sebagai pegawai pinjaman di dalam perkhidmatan Badan Pencegah Rasuah(BPR) yang mula ditubuhkan pada 1hb. Oktober, 1967. Mula-mula kami ditukarkan ke Kota Kinabalu, Sabah selama lebih dari dua tahun. Selepas itu kami telah ditukarkan ke Kuala Terengganu dan seterusnya ke Ibupejabat BPR Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka dan Sarawak.
Semasa di Melaka saya telah mengikuti suami ke London kerana beliau ditempatkan di Commonwealth Secretariat, London. Semasa kami duduk di Melaka juga, iaitu antara tahun 1984 dan 1989 saya terjumpa mendiang Param yang menjadi doktor di Hospital Besar Melaka semasa beliau merawat anak lelaki saya yang sakit. Beliau sangat gembira berjumpa saya dan suami saya dan seterusnya kami menjalin perhubungan yang agak rapat. Malangnya semasa kami masih berada di Melaka, Dr. Param telah meninggal dunia kerana serangan jantung dalam usia yang masih muda.
Nabjeah Aziz (kiri) , satu kelas dengan Jamilah (1964) di TBS. Kelihatan Nabjeah bersama Zakaria Osman (1957) di mjlis pot luck Kubu Gajah 3 Fbruari 13.
Selepas Sarawak suami saya telah ditukarkan balik ke Ibupejabat BPR pada tahun 1990 memegang beberapa jawatan sehinggalah beliau menjadi Timbalan Ketua Pengarah dan bersara pada May 1998. Sejak balik dari Sarawak dalam tahun 1990 hinggalah sekarang kami telah menetap dengan tenangnya di Kuala Lumpur, dikelilingi oleh jiran tetangga yang akrab dari berbilang kaum. Anak-anak kami cuma sebanyak tiga orang sahaja dan masing-masing telahpun berumah tangga dan kini kami dihiburkan oleh sebelas orang cucu.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads