Rabu, 30 Januari 2013

05 di jelebu - Google Blog Search

05 di jelebu - Google Blog Search


Muzium Adat <b>di Jelebu</b> himpun adat dari pelbagai etnik | Anak-Anak <b>...</b>

Posted: 21 Jan 2013 11:01 PM PST


KUALA KLAWANG - Muzium Adat, yang terletak kira-kira 60 km dari Kuala Lumpur, adalah muzium pertama, yang menghimpunkan maklumat pelbagai amalan adat masyarakat di Malaysia.

Sebaik melangkah masuk ke muzium ini, pelawat akan disambut oleh replika tengkolok gergasi, yang dipakai oleh raja dan sultan Melayu sejak dahulu.

Kurator Muzium Adat, Suhaimi Basiron, berkata sehingga ke hari ini, masih ramai yang mengamalkan adat dan tradisi yang dipamerkan dalam muzium berkenaan.

Adat merujuk kepada amalan hidup yang dimurnikan oleh sebahagian besar sesuatu masyarakat secara turun temurun yang membawa pelbagai nilai untuk tamadun masyarakat itu.

Orang Melayu juga lumrah mengungkapkan 'Hidup dikandung adat, Mati dikandung tanah'.

Nafas Baru 

Justeru, adat adalah pelakuan dan peraturan hidup yang bernas dan diterimapakai oleh sebahagian besar khalayak sesuatu masyarakat dan yang turut menyumbang kepada tamadun bangsa atau suku kaum.

Beliau berkata manusia hidup dalam dakapan adatnya dan adat pula hidup melalui amalan manusianya.

"Setiap adat berpayung di bawah peradaban besarnya. Maka dalam peradaban itu terdapat pelbagai bentuk adat yang berbeza. Pinjam meminjam antara adat adalah perkara biasa, sesungguhnya saling memperkaya. Ubahsuai tidak dapat dielak, memberi adat nafas baru untuk terus hidup sepanjang masa," katanya kepada Bernama.

Di Malaysia, kepelbagaian adat sangat luar biasa kerana rakyatnya berbilang seni budaya, agama dan bangsa.

Biarpun berbeza punca peradabannya, namun adunan kepelbagaian ini membuatkan budaya masyarakat negara ini sebagai sesuatu yang unik.

Tempat yang sesuai

Kewujudan Muzium Adat di Negeri Sembilan, juga bersesuaian dan bertepatan dengan identiti Negeri Sembilan sebagai 'Tanah Beradat'. Muzium ini dirasmikan pembukaannya oleh Undang Luak Jelebu Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman, Datuk Musa Wahab pada 2 Feb, 2008.

Suhaimi berkata Muzium Adat berperanan menyelidik, mengumpul, mempamer dan menyebarkan ilmu pengetahuan mengenai bahan-bahan warisan adat masyarakat Malaysia.

Penubuhan muzium ini adalah hasil cetusan idea Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Empat Tingkat

Muzium ini terletak dalam bangunan empat tingkat di mana ia mempunyai empat buah galeri pameran iaitu galeri aras bawah, galeri aras satu, galeri aras dua dan galeri aras tiga manakala aras empat adalah pejabat.

Galeri aras bawah memberi tumpuan kepada pengenalan adat di Malaysia, manakala galeri aras satu memaparkan kitaran hidup iaitu mengenai adat-adat yang dikaitkan dengan kitaran kehidupan manusia termasuklah kelahiran, perkahwinan, kematian dan kegiatan ekonomi serta amalan ritual.

Galeri aras dua pula ialah galeri tradisi intelektual, kerajaan dan kuasa di mana ia mempamerkan artifak seperti manuskrip Sejarah Melayu, Batu Bersurat Terengganu, cerita-cerita rakyat serta institusi pemerintahan.

Di galeri aras tiga, pengunjung berpeluang mendalami keunikan adat orang Negeri Sembilan menerusi galeri Adat Perpatih.

Adat Perpatih atau undang-undang berkaitan perkahwinan adalah unik di Negeri Sembilan di mana kaum hawa boleh membuat keputusan berhubung pewarisan ke atas harta benda dan hal-hal berhubung kekeluargaan.

Banyak bahan

Menurut Suhaimi, Muzium Adat memperagakan sebanyak 258 buah koleksi yang terdiri daripada artifak kebudayaan yang dikategori mengikut fungsi seperti kegunaan harian, kegunaan pertanian, upacara ritual, adat kelahiran, perkahwinan, adat berkhatan, adat cukur jambul, adat kematian dan muzik tradisional.

Upacara perlantikan pemimpin, alatan pemerintahan dan koleksi adalah juga unik berasaskan identiti sesuatu kaum.

Muzium dan pusat sumber

Muzium ini juga memiliki pusat sumber yang antara lain mengandungi koleksi buku mengenai adat pelbagai etnik di Malaysia.

Antara koleksi unggul yang dipamerkan di galeri Muzium Adat ini ialah replika Batu Bertikam dan Batu Baling.

"Kedua-dua batu ini menjadi simbol kewujudan dua adat utama di alam Melayu iaitu Adat Perpatih dan Adat Temenggung. Selain itu, terdapat keris panjang dan keris pendek diraja, kerusi singgahsana Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Bujam epok, gubahan nasi besar dan nasi manco, tengkolok diraja serta keranda kanak-kanak masyaraakt Iban.

"Secara keseluruhannya, muzium ini boleh menjadi satu tarikan kepada masyarakat yang ingin belajar mengenai adat dalam negara ini. Malah, ia boleh menjadi pusat rujukan adat di rantau ini," katanya.

Muzium Adat dibuka setiap hari dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang, kecuali Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. Masuk adalah percuma.

Bagi lawatan berpandu boleh dibuat terlebih dahulu untuk kumpulan dan rombongan dengan menghubungi talian 06-6136586/6136588.

Sumber: Bernama

IKLAN TEKS: Ingin menyertai produk Etiqa Takaful serendah RM70? Sekitar Kuala Pilah. Telefon 0123280345 untuk temujanji. Jangan pandang remeh pada sesuatu yang anda rasa tidak perlu sekarang. Suatu hari nanti pasti anda terasa menyesal. Yang anda rasa tidak perlu ini sebenarnya yang akan memberikan sesuatu yang terbaik kala kesempitan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads