Ahad, 18 November 2012

05 di jempol - Google Blog Search

05 di jempol - Google Blog Search


Cetusan Mukara: Analisa PRU 13 Parlimen <b>di</b> Negeri Sembilan <b>...</b>

Posted: 07 Nov 2012 08:55 PM PST

Negeri Sembilan mempunyai lapan (8) kawasan parlimen dan 36 dun. Kali ini ulasan akan bertumpu kepada kawasan parlimen dan melihat peluang kepada BN atau PR bagi PRU-13 akan datang.
Sekilas maklumat PRU 2008 lalu, Umno-BN memenangi lima (5) parlimen iaitu Jelebu, Jempol, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin. Manakala PR pula memenangi Seremban, Rasah dan Telok Kemang. Jika dilihat secara menyeluruh, kawasan barat Negeri Sembilan menjadi blok kepada PR manakala kawasan timur Negeri Sembilan menjadi blok kepada pengaruh Umno.
Namun masih ada yang tidak mengenali wakil-wakil rakyat yang memenangi kawasan barat negeri ini. Parlimen Rasah telah dimenangi oleh Loke Siew Fook (DAP), Seremban dimenangi John Fernandez (DAP) dan Telok Kemang dimenangi oleh Dato' Kamarul Baharin Abbas (PKR). 
Rais Yatim dan Shaziman Mansor adalah antara orang lama Umno yang masih menjadi wakil rakyat bagi parlimen Jelebu dan Tampin. Ada kemungkinan besar mereka berdua kekal menjadi calon Umno pada PRU-13 akan datang. Manakala di Jempol, Kuala Pilah dan Rembau dijangka menampilkan 'calon baru' yang datang daripada barisan lama.
Lebih menarik, Ketua Penerangan Perkasa-Ruslan Kassim juga dikatakan berminat untuk bertanding di Jempol. Namun setakat ini belum ada pengesahan muktahir daripada perkhabaran ini. Walaupun kawasan gugusan Felda meliputi 60 peratus Parlimen Jempol, namun gerakan politik PR yang rancak bertumpu di kawasan-kawasan Felda begitu mengugat keberadaan Umno. Sudah pasti masyarakat Cina dan India lebih 60 peratus akan memihak kepada PR sebagaimana yang berlaku di dun Bahau dan Jeram Padang. 
Pengaruh MCA di Bahau telah ditolak oleh majoriti masyarakat Cina dan keadaan itu akan menjatuhkan perolehan undi Umno di peringkat parlimen. Begitu juga di Jeram Padang, rata-rata sekitar 63 peratus pemilih India telah menolak MIC, namun undi daripada pemilih felda yang menyelamatkan calon MIC pada PRU 2008 lalu. Dua dun ini dijangka menjadi penyumbang besar undi kepada calon PR pada pilihanraya umum akan datang. Malah pihak Keadilan sendiri berkeyakinan tinggi memenangi Jeram Padang. Situasi tersebut bakal mengugat kelesaan Umno untuk menang dengan majoriti besar peringkat parlimen selepas ini.
Umno akan bergantung sepenuhnya pada undi-undi dari kawasan Felda di Serting dan Palong. Kawasan-kawasan Felda ini telah memberi undi yang besar kepada kemenangan Umno di peringkat parlimen sekitar 68-73 peratus. Atas faktor inilah pihak BN bersungguh-sungguh 'mencantas' gerakan-gerakan politik PR yang dijalankan di kedua-dua kawasan secara pantas. Kehadiran kerap beberapa pimpinan utama PR hadir ke program-program seperti Anwar Ibrahim, Azmin Ali dan Mat Sabu yang dianggap sebagai 'gergasi PR' agak mengusarkan Umno sehinggakan MB Negeri Sembilan Mohamad Hasan terpaksa turun padang untuk membuat 'sentuhan semula' kepada kawasan-kawasan yang dijelajahi oleh para 'gergasi PR' itu.
Ada ura-ura bahawa PAS Negeri Sembilan bakal meletakkan bekas penyanyi popular, Aishah (gambar) sebagai calon untuk Parlimen Jempol. Namun masih belum ada sebarang berita muktamad akan cerita itu.

Aishah berasal dari Batu Kikir, Jempol. Beliau juga mempunyai latar belakang akademik sains politik ketika menuntut di New Zealand dahulu. Mungkin beliau mempunyai prospek calon yang terbaik untuk ditampilkan oleh PAS. Calon Pas PRU 2008 juga seorang muslimat. Jika itu menjadi kenyataan, ada kemungkinan besar pengaruh Aishah mampu menarik sokongan golongan wanita Melayu yang cenderung menyokong Umno. Ia menjadi kekuatan terbaik buat PR khususnya PAS dalam memperbaiki kesilapan PRU 2008 lalu kredibiliti calon parlimen PAS dipertikaikan oleh majoriti pemilih.

PAS Kawasan Jempol turut mencadangkan nama Ketua Pemudanya, Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa yang berlatarbelakang pendidikan agama lepasan Universiti Al-Azhar untuk calon parlimen. Agak menarik situasi di Jempol dengan semua komponen PR Jempol mengetengahkan cadangan nama-nama calon-calon daripada anak muda seperti Teo Kok Seong (DAP-Bahau), Rebin Birham (PKR-Palong) dan T.Kumar (PKR-Jeram Padang). Kesemuanya telah dilihat bergerak membuat gerakan politik di kawasan-kawasan terbabit sejak tahun 2009 lagi.

Pertukaran MIC-Umno?

Sebelum ini kedengaran berita di pihak BN Negeri Sembilan bahawa Jempol akan ditandingi MIC hasil cadangan pertukaran Jempol-Telok Kemang. Umno dikatakan akan bertanding di Telok Kemang dan ura-ura calon yang hendak diletak adalah bekas MB Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad!

Namun begitu, cadangan tersebut tidak dipersetujui oleh Umno Jempol atas faktor jumlah pemilih Melayu di Parlimen Jempol adalah sekitar 61 peratus berbanding Telok Kemang (49%). Malah sekiranya cadangan itu dilaksanakan, peluang pimpinan Umno untuk bertanding akan dikecilkan kepada peringkat dun sahaja iaitu Serting dan Palong. Sedikit sebanyak ia akan mengganggu dominasi Umno di Jempol selain meningkat potensi perpecahan kesan perebutan menjadi calon!

Menang Jempol, NS Ditawan!

Hakikat bahawa Jempol kubu kuat Umno kini boleh dinafikan oleh rakyat. Ia bukan lagi perkara mustahil atau suatu mainan politik pembangkang. Akan tetapi PR NS harus mengukuhkan gerakan bersama dan tidak memperdulikan isu-isu kecil yang sengaja dimainkan oleh pihak-pihak tertentu yang bertujuan untuk memecahkan kesepakatan politik PR.

Umno-BN melalui agensi-agensi kerajaan seperti Jasa, Kemas dan risikan polis & tentera telah melihat peningkatan sokongan di beberapa kawasan tertentu khususnya kawasan Felda hasil gerakan berterusan PR menembusi kubu-kubu ampuh Umno di Felda. Peralihan peratus sokongan sekitar 15-20 peratus pemilih Melayu kawasan Felda kepada PR sudah cukup menggusarkan Umno. Walaupun peningkatan itu tidak memenangkan PR di kawasan Felda akan tetapi ia sudah mampu mengoncang Umno di peringkat parlimen. Angka peralihan itu juga memungkinkan PR menang di Serting dan Jeram Padang. Malah tidak mustahil Jempol juga jatuh di tangan PR.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads