05 di linggi - Google Blog Search |
ANTARA KESABARAN DAN KEIKHLASAN MENGIKUT - Bicara Minda Posted: 28 Jul 2012 01:15 AM PDT (Disiarkan pada 28. 7. 2012) Kesabaran dan keikhlasan merupakan ibadat seseorang mukmin. Kehadiran kedua-dua feno- mena tersebut dalam kalbu manusia disebabkan adanya iman dalam hati yang memimpinnya ke- arah membangunkan tamadun kehidupan. Paksi kesabaran berpaut kepada hati yang sihat. Begitu juga halnya keikhlasan, ia sukar wujud jika hati itu tidak bertemankan dengan iman. Keunggulan akhlak manusia berbanding makhluk ciptaan Allah yang lain adalah disebab kan mempunyai hati yang sabar dan ikhlas kerana Allah s.w.t. Manusia dalam usaha memakmur kan alam kehidupan memerlukan kesabaran dan keikhlasan. Sabar itu besandarkan iman kepada Allah s.w.t. kerana orang yang sabar sahaja menjadi pemimpin yang berwibawa. Kesabaran dan keikhlasan menangani tamadun kehidupan wajar ada kerana keduanya merupakan peresai kepada kehendak nafsu yang sentiasa mewarnai kepentingan diri yang ingin hidup seorang diri tanpa memikirkan kepentingan orang lain. Orang yang sabar Allah sentiasa perkenankan urusan pembangunan kehidupan sepertimana yang diilhamkannya. Sabar adalah tetap hati dan tabah. Seorang yang telah mengabdikan dirinya untuk menyebarkan kebenaran di atas permukaan bumi, di tengah-tengah masyarakat manusia yang berbagai corak dan ragamnya itu, harus sabar, tetap hati dan tabah menghadapi segala macam halangan, rintangan, menghadapi segala tentangan dan permusuhan bahkan menghadapi setiap ancaman atau intimidasi dari pihak-pihak yang menentang kebenaran itu. Sabar itu ertinya bukan menyerah kalah terhadap musuh, tetapi tetap hati dan tabah menghadapi musuh sehingga kita mencapai kemenangan dan musuh-musuh itu dapat dikalahkan. Disebaliknya kalau seorang yang membela dan menyebarkan kebenaran itu lemah hati dan semangat, dengan sedikit halangan dan rintangan sahaja sudah mundur ke belakang dan berhenti membela dan menyebarkan kebenaran itu, maka akhirnya kebenaran itu akan lenyap di permukaan bumi. Kehidupan manusia di permukaan bumi jangan sampai merugikan, maka seluruh kehidupan kita harus berisi empat perkara yang diterangkan dan surah Al-Ashr, iaitu iman, melakukan kebajikan, membela dan menyebarkan kebenaran, dan sabar atau tetap hati dan tabah atas kebenaran itu. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Keimanan itu ada dua bahagian, satu bahagian terleak dalam kesabaran dan sebahagian lagi terletak dalam perasaan syukur". Sabar ialah tetap hati dan tabah menghadapi halangan dan rintangan menghadapi berbagai-bagai bahaya atau musibah. Sedang syukur ialah perasaan gembira dan terima kasih terhadap Allah bila menerima nikmat dan pemberian-pemberian-Nya. Jadi bila seorang hanya pandai bersyukur sahaja ketika menerima nikmat dan rahmat Allah, tetapi bila menghadapi bahaya-bahaya dan kesusahan tidak berhati sabar, maka orang itu baru memiliki seperdua keimanan. Ertinya belumlah dia beriman 100%. Ketahuilah saudara-saudara bahawa tidak semua orang yang kaya raya hidup berbahagia dan beruntung. Dan sebaliknya tidak pula semua orang yang hidup miskin dan melarat hidup celaka dan sengsara. Nikmat atau pemberian Allah yang terbesar, pemberian yang paling berharga bukan harta kekayaan, tetapi kesabaran. Orang yang sabar lebih bahagia dari orang yang kaya yang selalu gelisa, panik dan diresakan nafsu-nafsu. Kecuali orang yang kaya yang kekayaannya didapat secara halal, tidak bertentangan dengan rasa susila dan lain-lain. Firman Allah, surah Al-Baqarah 155 yang bemaksud: "Sesungguhnya Kami (Allah) akan mendatangkan sedikit cobaan kepada kamu yang merupakan ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan, maka gembirakanlah orang –orang yang sabar." Allah akan menguji umat Islam untuk membezakan antara mereka yang taat dengan mereka yang derhaka, dengan berbagau rupa ujian: 1. Ketakutan; yakni takut kepada musuh. Erti takut di sini ialah menanti-nanti perkara yang dibenci yang menyebabkan penderitaan di dalam hati. 2. Kelaparan; yakni kekurangan bahan-bahan makanan. 3. Kekurangan pada harta, yakni kerugian di dalam perniagaan dan perusahaan. 4. Kekurangan diri manusia; yakni berlaku banyak kematian. 5. Kekurangan buah-buahan; musim kemarau yang menyebabkan kekurangan hasil pertanian. Maka Allah akan memberi kegembiraan dengan menyediakan syurga kepada orang yang sabar menerima cubaan tersebut di samping mendapat keampunan dan rahmat-Nya dan mereka itu mendapat petunjuk ke jalan yang benar. Dunia ini penuh dengan rahmat dan nikmat Allah, juga penuh dengan berbagai malapetaka dan kesengsaraan. Ia begitu keadaan kerana dunia ini bukan surga, di mana hanya terdapat kebahagian, dan bukan pula neraka, di mana hanya terdapat kesengsaraan dan penderitaan melulu. Sudah menjadi kenyataan dalam hidup manusia di permukaan bumi ini bahawa seorang yang paling pintar, paling berkuasa sekalipun, tidak dapat menghindarkan dirinya dari penderitaan dan kesengsaraan itu. Kesengsaraan dan penderitaan mencerkam orang yang bodoh, lemah dan melarat, tetapi kadang-kadang juga menimpa diri orang yang pintar, kuat dan kaya raya juga. Maka itu kita yakin dan percaya, bahawa keadaan hidup dan kehidupan di dunia bukan ditentukan oleh manusia tetapi yang menentukannya yang lebih kuat, lebih pintar dan lebih berkuasa iaitu Allah s.w.t. Sebab itu kita yakin dan percaya kepada qudrat dan iradat dan percaya kepada qadha dan kadar Tuhan. Bagi umumnya manusia yang beriman dan percaya kepada Tuhan Yang Maha Esa sudah dapat dimengertikan dan dipercayai sebaik-baiknya. Tetapi disamping itu ada hal yang kejadian yang sebahagian besar manusia amat sulit untuk difikirkan dan dipecahkan, iaitu kejadian kepada orang-orang suci, termasuk para Nabi dan Rasul dan orang suci lainnya, iaitu orang yang sudah nyata menjadi Utusan dan orang kepercayaan dan dicintai oleh Tuhan, mengalami nasib dan penderitaan yang lebih hebat dalam hidup dan kehidupan di dunia ini. Semua Nabi dan Rasul yang suci murni, semua para wali dan Perjuang ke arah kesucian, semuanya menderita dan penderitaan yang jauh lebih hebat dan sengsara kalau dibanding dengan orang yang kafir, jahat dan penuh dengan noda dan dosa dalam hidupnya, orang yang nyata menentang ajaran Allah, tetapi mengalami keadaan yang amat senang dan bahagia dalam kehidupan mereka di dunia ini. Alangkah hebatnya penderitaan yang diderita Nabi Nuuh a.s. 950 tahun berdakwa menyebarka kebenaran Islam dan sentiasa di bawah ancaman penghinaan dan sindiran halus dan kasar dari bangsanya yang sesat dan jahat. Tetapi kerana Nuuh tahu yang dia dalam kebenaran, sedang bangsanya jahat dan bodoh, maka Nuuh a.s. sanggup menghadapi segala ancaman dan hinaan itu. Inilah yang dinamakan kesabaran yang indah. Bagaimanapun hebatnya ancaman dan kesengsaraan, hanya terasa sebagai hiburan semata. Begitu jugalah perjuangan Nabi Ibrahim a.s.yang terbesar dan termulia. Nabi Ibrahimlah yang pertama membawa ajaran yang diajarkan oleh Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Muhammad saw. Seorang Nabi Mulia yang oleh Tuhan diberi pangkat Khalilul Rahman, ertinya Teman Tuhan. Sekalipun begitu, nasib penderitaan yang dialami oleh Nabi Ibrahim tidak kalah dengan penderitaan Nabi dan Rasul lainya. Beliau berhadapan dengan bangsa yang bodoh yang menyembah berhala. Kerana beliau tidak mahu menyembah berhala maka ia menghancurkan berhala yang menjadi sembahan manusia. Akibat perbuatannya maka beliau dihukum mati dengan mencampakkannya di lautan api yang tebal. Keimanan yang memberikan kesabaran yang timbul dari keinsyafan atas kebenaran ajaran yang dibawanya dan keyakinan akan Tuhan yang mengutusnya. Sesudah berpuluh-puluh tahun ingin untuk beroleh seorang anak, akhirnya di beri Tuhan seorang anak, tempat Ibrahim a.s. menumpahkan cinta kasihnya. Tiba-tiba Allah memerintah kannya untuk menyembelih anak yang tercinta itu. Itu pun dijalankan Nabi Ibrahim dengan patuh, dengan tak memikirkan akibatnya, hanya semata-mata kerana tahu bahawa itu adalah perintah Tuhan. Inilah satu macam kesabaran yang indah pula dan hasilnya bukan hilangnya si anak yang tercinta tetapi tak hilang dan anak tak ada apa-apa. Air mata kita pasti jatuh berlinang apabila kita mendengar bagaimana penderitaan yang diderita oleh Nabi Isa al-Masih a.s. dan Nabi Muhammad saw. Begitu juga penderitaan yang dialami oleh Nabi Yakob dan anaknya Nabi Yusof a.s. Semua penderitaan itu bagi mereka tidaklah apa-apa sebab di alam batin mereka, mempunyai satu kekuatan yang jauh lebih hebat dari penderintaan yang mereka alami itu. Kekuatan itu adalah kesabaran yang indah. Menangani kesabaran manusia berpaut kepada rasa keikhlasan dalam hatinya. "Apakah ikhlas itu?" Ikhlas adalah jika seluruh perbuatanmu muncul kerana Allah semata, di dalam kalbumu tidak ada hasrat sedikitpun untuk berpaling kepada makhluk, ketika dan sesudah melakukan perbuatan tersebut. Perkerjaan yang bersih terhadap sesuatu, bernama ikhlas. Misalnya seorang bekerja kerana diupah, semata-mata kerana mengharapkan puji majikan, maka ikhlas amalnya kepada majikannya, atau ia bekerja memburu harta dari pagi sampai petang, dengan tidak jemu-jemu, kerana semata-mata memikirkan upah, maka keikhlasannya kepada perutnya. Pekerjaan memberi pertolongan, adalah baik, tetapi belum tentu baik jika dasarnya tidak subur. Menolong fakir dan miskin kerana Allah, bukan kerana semata mengharapkan puji dan sanjung manusia. Oleh sebab itu, perkataan ikhlas itu terpakai terhadap Allah semata-mata. Ikhlas tidak dapat dipisahkan dari siddiq (benar) tulus. Lurus dan benar niat dan sengaja, kerana Allah belaka, tidak mendustai diri dengan perkataan 'kerana Allah'. Jika di dalam hati bersarang kerana puji, kerana mencari nama dan lain-lain. Orang yang mulutnya mengaku benar, tetapi hatinya berdusta, dia termasuk dalam golongan pendusta. Ikhlas itu tidak dipisahkan dengan jujur yang dalam bahasa halusnya 'tulus', sebab itu selalu orang berkata 'tulus ikhlas', dan ketulusan itu bukanlah dilidah sahaja, kerana lidah mudah berputar, mudah mungkir. Kerana lidah berkata atas kehendak hati. Yang penting ialah ketulusan hati. Ikhlas kepada Allah, hanya semata-mata percaya kepada-Nya. Ia tidak boleh dipersekutukan dengan yang lain, pada zat, sifat dan pada kekuasaan-Nya. Hadapkan kepada-Nya segala sifat-sifat kesempurnaan yang penuh, hindarkan daripada persangkaan sifat-sifat kekurangan. Taat mengikut perintah-Nya, jauhi segala larangan-Nya dan jangan derhaka kepada-Nya. Ikhlas kepada Rasulullah, mengakui dengan sesungguh risalahnya, percaya pada segala yang dibawanya, taat mengikuti yang diperintahnya, menjauhi segala yang dilarangnya, membelanya di waktu hidupnya dan terus sampai wafatnya. Memusuhi orang yang memusuhinya, membela orang yang membelanya, membesarkan haknya, dan memuliakan dia. Siarkan pengajarannya dan sampaikan serta luaskan syariatnya ke seluruh bumi. Nafikan segala tuhmat (tuduhan) yang dihadapkan orang kepadanya dengan alasan yang cukup. Pegang teguh- teguh ilmu yang ditinggalkannya. Kerana dia diutus ke dunia untuk menyempurnakan budi peketi danTuhan sendiri yang mengajarnya beradab. Demikianlah sekelumit risalah mengenai kesabaran dan keikhlasan hati manusia mengikut kefahaman Islam. Maka itu tanganilah kehidupan dengan kesabaran dan keikhlasan kerana Allah s.w.t. |
You are subscribed to email updates from di linggi - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan