Isnin, 6 Februari 2012

05 di serting - Google Blog Search

05 di serting - Google Blog Search


Catatan Pak Mail: Balik Kampong

Posted: 01 Feb 2012 09:36 AM PST


Agak lama juga saya tidak 'pulang' ke kampong di Serting, Bahau, Negeri Sembilan. Kampung arwah ibu kepada isteri saya. Tetapi kali ini, saya tidak dapat berlama di rumah Mak Ngah. Kami singgah hanya sebentar sahaja. Itu pun hanya lebih kurang sejam sahaja pada malam hari Minggu kelmarin.
Abang Kamar (nama sebenar Kamaruddin bin Khamis), anak Mak Ngah telah mengundang kami sekeluarga ke majlis perkahwinan anak sulungnya Khazimah di Felda Raja Alias 1 pada hari Sabtu tanggal 28hb Jan lepas. Beberapa saudara-saudara isteri saya berserta ahli keluarga mereka turut hadir dari Kuala Lumpur secara berasingan.
Di majlis ini saya melihat amalan gotong royong menyediakan hidangan makanan untuk para tamu masih dipelihara. Saya melihat di satu sudut ibu-ibu sibuk menggoreng ayam. Di satu sudut yang lain, ada ibu-ibu membantu membasuh pinggan dan mangkuk kotor.
Tetapi, tidak pula kelihatan para bapa-bapa melakukan sesuatu kerja. Barangkali bahagian kerja-kerja dari orang lelaki seperti menyiapkan khemah atau menyediakan kerusi meja telahpun dilaksanakan. Oleh itu giliran mereka untuk beristirehat.
Kebetulan, Abang Kamar juga adalah seorang bekas anggota TLDM dari cawangan semboyan seperti saya. Tetapi Abang Kamar berhenti dari TLDM awal tahun 80an. Ketika saya masih berkhidmat tidak pula terjumpa Abang Kamar di mana-mana pangkalan atau kapal. Hanya setelah mendirikan rumahtangga dengan isteri saya kami berkenalan.
Rumah-rumah FELDA pada hari ini tidak seperti dahulu. Amat sukar untuk menemui rumah asal bertangga kayu yang keseluruhan diperbuat dari kayu. Rata-rata semua rumah FELDA telah diubahsuai kepada rumah separuh batu atau keseluruhan batu.
Anak-anak peneroka FELDA dari generasi kini juga tidak seperti dahulu yang bersikap 'inferiority complex'.
Pada penghujung tahun 1974 sewaktu sedang menunggu keputusan peperiksaan MCE, saya diajak ikuti seorang kawan bekerja sambilan di sebuah kantin di FELDA Jengka Pusat, Jengka, Pahang. Lebih sebulan saya berada di sana. Saya sempat melihat dan merasai suasana kehidupan di 'dunia' FELDA ketika itu. Nyata, amat jauh berbeza kehidupan hari ini dan dahulu dari aspek jerih payah yang peneroka asal harungi dan alami.
Satu lagi perkara yang masih kekal saya ingati ketika berada di sana (FELDA Jengka Pusat) ialah apabila melihat orang-orang asal yang masih lagi ketika itu hanya memakai cawat dengan membawa sumpit berjalan mencari rezeki di tepi jalan besar atau di tepi-tepi hutan. Saya pasti senario seperti itu tidak lagi dapat dilihat pada hari ini.
Setelah acara agak hampir selesai, saya serta anak dan isteri, adik ipar dan keluarganya dan juga kakak ipar dan anaknya dibawa oleh seorang lagi anak lelaki Abang Kamar ke sebuah rumah yang dijadikan 'HOMESTAY' di satu kawasan perumahan FELDA di mana kami ditempatkan untuk bermalam di sana. Saya dapati masih banyak lagi rumah seperti ini terbiar kosong tanpa penghuni. Ada lebih kurang tiga puluh ke empat puluh unit rumah semuanya. Dan saya dapati juga ada beberapa unit yang dijadikan 'homestay'. Di dalam rumah ini terdapat empat bilik dan semua keperluan asas seperti peralatan untuk memasak, tv, peti ais disediakan. Kebetulan sebelum kami beredar dari rumah pengantin, isteri Abang Kamar membekalkan kami nasi dan lauk pauk. Oleh itu tidak perlu kami bersusah payah mencari makanan di luar. Kami hanya perlu memanaskan sahaja apa yang dibekalkan.
Pada malam hari selepas maghrib, saya bersama keluarga keluar ke pekan Bahau sebentar sebelum ke rumah Mak Ngah di Serting untuk pekena 'teh kaw'. Isteri saya kata teh yang dibuat oleh Mak Ngah sangat sedap. Memang benar. Ia amat sedap. Tapi saya tak bisa ambil banyak-banyak. Takut hidapi kencing manis.
Di belakang rumah Mak Ngah terdapat sebidang tanah sawah padi. Terdapat juga sebuah bilik air bersumur. Airnya amat bersih dan sejuk. Ciri-ciri kehidupan kampong masih lagi terasa apabila berada di sini.
Pendek kata banyak perkara yang ada di kampong tidak ada di bandar seperti Kuala Lumpur. Hati bisa menjadi tenang kalau berada di kampong. Segala kegawatan fikiran bisa terlerai seketika sekiranya berada di kampong.
Ah…….kalau lah saya ada kampong…….
Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads