Isnin, 25 Julai 2011

di negeri sembilan - Google Blog Search

di negeri sembilan - Google Blog Search


Pasar Tani Berkembang Pesat <b>Di Negeri Sembilan</b> | MyNewsHub (BM)

Posted: 22 Jul 2011 12:52 AM PDT

Oleh Razali Pilus

SEREMBAN – Setelah dua setengah dekad pasar tani diperkenalkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), ia kini dilihat terus berkembang pesat di Negeri Sembilan.

Bermula dengan sebuah pasar tani di Ampangan pada tahun 1985, kini terdapat 29 buah pasar tani yang beroperasi di seluruh negeri ini.

"Mereka yang berniaga kini mencapai 1,072 orang, berbanding 20 orang pada awal penubuhannya. Nilai jualan tahun ke tahun juga didapati semakin meningkat.

"Jualan yang dicatatkan pada tahun 2010 mencapai jumlah RM17.9 juta, berbanding pada 2009 berjumlah RM16.9 juta. Adalah dijangkakan berdasarkan prestasi jualan semasa dari Januari hingga April 2011 sebanyak RM7.1 juta, jualan pada akhir tahun 2011 diunjurkan mencapai RM21.3 juta," kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Sembilan Datuk Yunus Rahmat kepada Bernama di sini.

Katanya peningkatan jualan ini mungkin boleh dikaitkan dengan beberapa faktor seperti pertambahan bilangan pasar tani atau peningkatan pelanggan yang berbelanja di pasar tani atau pun peningkatan permintaan berikutan pertambahan bilangan penduduk.

LEBIH BAIK JIKA HARGA MURAH

"Bagi saya sekiranya ia disebabkan faktor pertambahan bilangan pasar tani atau peningkatan permintaan akibat pertambahan penduduk, ia adalah dijangkakan, tapi sekiranya disebabkan oleh semakin ramai orang yang berbelanja di pasar tani maka tentunya di sana ada faktor daya tarikan tersendiri," katanya.

Antaranya harga lebih murah serta kompetitif, barangan yang diniagakan lebih segar dan berkualiti, keadaan kebersihan kawasan, layanan yang baik, kepelbagaian produk jualan dan lokasi strategik yang mudah dikunjungi.

Dalam hal ini, lebih baik jika orang ramai gemar berbelanja di pasar tani berikutan faktor harga yang kompetitif selain beberapa faktor lain.

Dan sepatutnya begitulah, berikutan peniaga di pasar tani pada konsep asalnya terdiri daripada pengeluar sendiri iaitu kalangan petani, penternak, nelayan dan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).

"Namun kita mengambil maklum bahawa kini perubahan berlaku akibat pengaruh persekitaran pasaran sehinggakan peniaga pasar tani yang dahulunya pengeluar, bertukar menjadi peniaga sepenuh masa.

"Peniaga pasar tani seharusnya sedar bahawa institusi pasar tani ini adalah suatu mekanisme bagi memendekkan rantaian pasaran dengan meminimum pemain di sepanjang rantaian pasaran ini iaitu dalam erti kata lain mengurangkan penglibatan orang tengah dengan tujuan memberi peluang kepada pengeluar mendapat pulangan yang setimpal dan keuntungan lebih tinggi sementara pengguna menikmati harga yang lebih murah, munasabah dan berpatutan.

"Saya amat tertarik hati dengan konsep pasar tani dari segi prinsip ekonomi iaitu keuntungan yang paling besar sekali ialah kalau kita berada dekat atau berhampiran dengan pasaran.

"Kalau kita bergantung kepada orang tengah untuk memasarkan hasil keluaran, maka keuntungan yang diperoleh tidak setinggi mana atau tidak berbaloi berbanding sekiranya kita sendiri terlibat secara langsung di peringkat pemasaran.

PELBAGAI KONSEP PASAR TANI

Pengarah Fama Negeri Sembilan A. Rahaman Suleiman pula berkata Fama memperkenal pelbagai konsep pasar tani selain pasar tani runcit.

Antaranya Pasar Tani Mega, Pasar Tani Kekal, Teman dan Pasar Tani Karavan, yang bertujuan menyediakan luang pasaran yang mencukupi serta mempermudah aktiviti pemasaran hasil tempatan.

Penubuhan pasar tani seumpama ini dilihat selaras dengan keperluan untuk membangunkan kemudahan prasarana pemasaran dan logistik di dalam pengurusan rantaian bekalan dari peringkat ladang ke pengguna khususnya di Negeri Sembilan.

Katanya pengwujudan pasar tani juga selaras dengan keperluan untuk memenuhi permintaan pasaran dan diselarikan dengan perkembangan aktiviti pertanian di peringkat domestik di samping sebagai inisiatif mempercekap dan meningkatkan lagi keberkesanan aktiviti pemasaran.

MASIH NEGARA PENGIMPORT

Pengerusi pasar tani Paroi Jaya, Abdul Manap Ahmad, 58, berkata sektor pertanian adalah satu daripada sektor penting yang mendapat tumpuan dalam perdagangan dunia masa kini kerana menghasilkan bekalan makanan dan bahan mentah kepada penduduk dunia.

Katanya kemampuan sesebuah negara untuk memajukan sektor pertanian menggambarkan keupayaan negara dalam membekalkan makanan yang mencukupi kepada rakyat.

"Oleh yang demikian kita lihat negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Belanda dan Jepun tidak meminggirkan pembangunan sektor pertanian malah ia dimajukan sebagai entiti perniagaan yang berdaya saing dan menguntungkan.

"Negara kita masih tergolong sebagai negara pengimport makanan dan ini dapat dilihat pada bil imbangan dagangan makanan negara yang tidak pernah mencatatkan nilai lebihan. Pada 2010 nilai import makanan negara menjangkau kira-kira RM28 bilion dan Perdana Menteri menyarankan agar nilai import ini dapat dikurangkan separuh sehingga RM14 bilion setahun.

"Dengan langkah ini kita akan dapat menghalang pengaliran wang keluar negara dan menjimatkan perbelanjaan bagi tujuan mengimport makanan. Peningkatan bil import lambat laun akan memberikan impak negatif kepada pertumbuhan ekonomi negara sekiranya tiada langkah mengatasinya dilaksanakan.

HARGA KOMPETITIF

Sementara itu, peniaga ikan pasar tani Rembau/Tampin, Rahim Idris, 38, merasakan pasar tani boleh dijadikan tempat memasarkan hasil keluaran tempatan khususnya bagi pengguna tempatan.

Mengenai hasrat kerajaan negeri agar sekurang-kurangnya 30 peratus hingga 40 peratus keluaran tempatan dapat dipasarkan dalam pasaran tempatan bagi memenuhi permintaan dalam negeri atau setempat, beliau berkata ini diharapkan menjamin pengguna tempatan mendapat bekalan yang mencukupi.

Mereka juga boleh menikmati harga yang lebih kompetitif dan murah setelah dapat memendekkan rantaian pemasaran dengan mengehadkan penglibatan orang tengah yang sering memanipulasi harga.

"Kita tidak mahu keluaran tempatan dipasarkan ke luar dari Negeri Sembilan sedangkan pada masa yang sama kita kekurangan bekalan dan terpaksa pula membawa masuk bekalan dari luar, contohnya dari Pasar Borong Selayang.

"Tambah teruk lagi apabila hasil yang dijual keluar, akan dijual semula di dalam pasaran Negeri Sembilan. Kitaran ini akan mengakibatkan harga menjadi lebih tinggi berikutan tanggungan kos pengangkutan serta lain-lain kos yang terlibat," katanya. – BERNAMA

Berita Berkaitan:

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads