Isnin, 4 Julai 2011

05 di linggi - Google Blog Search

05 di linggi - Google Blog Search


sagahayat: JEJAK DARAH LANGKAT - Bahagian II

Posted: 25 Jun 2011 11:26 PM PDT

Usia dewasa bukan hanya untuk dihabiskan sisanya di tanah darah tumpah. Bertitik tolak dari situlah Bujang dan adiknya Sadin, mengikut jejak ayah mereka, berkelana, merantau dan meneroka tanah-tanah baru untuk membuka mata mereka dan belajar untuk berdiri dengan kaki sendiri.

Mereka mengembara sehinggalah tiba di Kuala Kubu. Bujang dan Sadin meneroka hutan dan mereka berhuma. Tuah ayam nampak di kaki, namun tuah Bujang dan Sadin tampak jelas pada padi-padi hasil tanaman mereka yang tunduk menguning. Berbudi pada tanah, rezeki Tuhan ternyata melimpah ruah buat mereka yang sama-sama bekerjasama membanting tulang mengerah kudrat. Keringat dan kepayahan mereka dibayar dengan hasil tanaman yang sungguh lumayan.

Suatu hari, Sadin adik kepada Bujang bersuara. "Abang, apa yang abang cakap sudah pun kita jumpa. Adat orang sedarah, sifat orang seperguruan". Bujang faham maksud adiknya. Adiknya akhirnya meninggalkan Bujang buat selama-lamanya dan jenazahnya disemadikan di tanah Kuala Kubu. Hasil pertanian dituai dan kemudiannya diserahkan Bujang kepada orang-orang kepercayaannya. Dalam keadaan duka, Bujang kembali ke Pengkalan Durian.

Setibanya di Linggi, Bujang disambut oleh isterinya, Aminah. Tahun-tahun seterusnya Bujang terus menetap di Linggi. Mereka suami isteri dikurniakan lima orang cahaya mata iaitu Wahab, Mahmud, Arifin, Salimah dan Harun. Suatu hari Bujang mengambil keputusan untuk berhijrah ke kawasan lain. Dia mahu mengubah untung nasib hidupnya yang tidak berapa menentu di Linggi.

Akhirnya Bujang menyiapkan kereta lembunya. Dia juga menyuruh isterinya bersiap-siap untuk menempuh satu perjalanan yang jauh ke tempat baru. "Minah, kau bersiap-siaplah. Kita akan ke tempat baharu. Sama-sama kita teroka dan bertani di Sungai Kembong nanti. Mat Tera, sahabat kepada abah sudah sampai pun di sana".

Kereta lembu milik Bujang mula merentas denai-denai kampung dan mula melewati rumah-rumah di hujung kampung di Linggi. Bujang bersama isteri dan anak-anaknya menuju ke Sungai Kembong, sebuah tempat yang tiada orang bermukim dan merupakan hutan belantara. Perjalanan mereka memakan beberapa hari. Ada ketika, semasa mereka bermalam di pinggir di sebuah bukit, ada pak belang mengaum dan berkeliaran berhampiran kereta lembu mereka. Mujur keluarganya tidak diganggu oleh binatang buas itu dan akhirnya Bujang selamat tiba di Sungai Kembong, tempat untuk dia bermastautin, memulakan hari-hari barunya, bersama Aminah dan lima orang anak mereka.

Di Sungai Kembong, mereka bersawah. Sudah banyak keluarga dari Linggi memulakan kehidupan baru di tempat itu. Mat Tera adalah antara yang pertama. Yang lain-lain termasuklah Tok Rasat, Tok Manaf, Tok Baki, Tok Sendeng dan Tok Maksit yang sama-sama mengembleng tenaga membuka tanah di Sungai Kembong. Ketika mereka baru tiba di sana, jambatan keretapi yang diberi gelaran Jambatan Lubuk Buaya yang merentangi sungai sedang dibina oleh pihak British di kawasan itu.

Hiduplah mereka disana. Sehinggakan Sungai Kembong menjadi sebuah kampung yang permai dan penduduknya saling bantu-membantu diantara satu sama lain.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads